PETALING JAYA: Majlis Pemulihan Negara (MPN) memandang serius situasi ekonomi global dan domestik pasca pandemik Covid-19 yang memberi kesan yang begitu teruk kepada usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Isu berkaitan PMKS juga sering kali dibincangkan dalam mesyuarat MPN bagi memastikan setiap sektor yang terlibat kembali bangkit dan apa yang telah disyorkan perlu diambil tindakan segera untuk menyokong kembali perkembangan industri.
Ahli MPN, Datuk Michael Kang berkata, antara perkara utama yang perlu diberikan perhatian ialah kerajaan perlu merangka satu polisi khas bagi memastikan ada satu garis panduan jelas hala tuju PMKS untuk kembali bangkit membina semula reputasi.
Beliau berkata, garis panduan itu termasuk dalam aspek pinjaman bank, permohonan bantuan, permohonan pekerja asing, pembekalan untuk peringkat domestik dan global sekali gus dapat memastikan PMKS dapat kembali bangkit dalam kadar segera.
“Umum tahu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kebanyakan PMKS tidak dapat beroperasi atas kekangan tertentu dan ketika itu ada dalam kalangan pengusaha terpaksa mengecilkan operasi dan lebih teruk ada yang gulung tikar.
“Jadi, untuk kembali bangkit, PMKS perlukan sokongan kerajaan. Ada antara usahawan ketika ini bermasalah dalam pusingan modal kerana tidak dapat beroperasi sebelum ini. Jadi kerajaan kena ambil peranan untuk bantu golongan ini.
“Antara yang paling terjejas teruk dalam tempoh sebelum dan pasca pandemik ialah kontraktor untuk sektor pembinaan, pelancongan dan pembuatan. Untuk eksport juga, ada negara luar sudah cari pembekal baharu kerana kita tidak dapat buat pengeluaran.
“Maka, kerajaan perlu ambil langkah drastik dan memainkan perananan untuk menyokong PMKS. Ambil contoh Thailand, macam mana kerajaan mereka bantu industri untuk kembali bangkit dan pendekatan sama perlu diambil,” katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.
Michael yang juga merupakan bekas Presiden Persatuan PKS Malaysia (SME Malaysia) turut bimbang jumlah pengusaha PMKS yang gulung tikar akan meningkat sekiranya kerajaan tidak mengambil langkah drastik membantu mereka.
Selain itu katanya, antara isu yang selalu dibangkitkan pengusaha PMKS adalah masalah kekurangan tenaga kerja asing dalam pelbagai sektor terutamanya perladangan yang dilaporkan mengalami kerugian hampir RM20 bilion pada 2021.
Katanya, MPN dimaklumkan bahawa 1,152, 276 permohonan kuota pekerja asing diterima untuk semua sektor sehingga bulan September lalu dan sehingga kini, sebanyak 467,223 atau 40.5 peratus kuota telah diluluskan.
“Walaupun kuota sebanyak itu diluluskan, sehingga 12 September lalu, hanya 76,000 pekerja asing telah dibawa masuk ke Malaysia untuk memenuhi permintaan penggiat PMKS. Perkara ini agak kritikal sekarang kerana permintaan untuk tenaga buruh amat tinggi.
“Buat masa ini, kita kekurangan sejuta pekerja asing lagi. Bawa masuk 500,000 lagi baru cukup, ujarnya. –UTUSAN