Kerajaan campuran selepas PRU15

Kerajaan campuran selepas PRU15

GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dikatakan akan menjadi penentu kepada parti mana dari Semenanjung yang akan membentuk kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan campuran dijangka akan berlaku selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) jika pertembu­ngan sekurang-kurangnya tiga penjuru tidak dapat dielakkan dalam pilihan raya kali ini kerana tiada parti yang benar-benar kuat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pemerhati politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr. P. Sivamurugan berkata, penjajaran tersebut boleh berlaku sama ada melibatkan parti sesama Semenanjung atau bergabung antara parti dari Sabah dan Sarawak.

Katanya, ini kerana hanya 124 kerusi yang menjadi rebutan parti politik di Semenanjung, tidak termasuk 31 kerusi di Sarawak, 25 kerusi di Sabah manakala 42 kerusi hampir pasti dimenangi DAP.

PENJAJARAN

Sehubungan itu, katanya, penjajaran politik kerajaan campuran akan tetap akan berlaku selepas PRU15 kerana tiada mana-mana gabungan akan dapat merebut 124 kerusi sekali gus memenangi 112 kerusi majoriti mudah.

“Daripada 124 kerusi itu, Barisan Nasional (BN) mungkin boleh menang 74 kerusi dan boleh bentuk kerajaan kalau boleh yakinkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Pakatan Harapan (PH) pun boleh bentuk kerajaan kalau menang jumlah kerusi yang sama dan dapat menyakinkan GPS serta GRS.

“Namun, jika masing-ma­sing parti hanya peroleh sekitar 40 atau 50 kerusi, maka boleh berlaku campuran sesama gabungan politik di Semenanjung sebab (senario ketika itu) tidak ada musuh dan lawan, tetapi cuma kepentingan.

“Dulu jelas PH atau BN, tetapi selepas 2020, kita boleh lihat dengan musuh pun boleh membentuk kerajaan, jadi yang ada cuma kepentingan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas kebimbangan berlakunya ‘Parlimen tergantung’ sekiranya tiada parti mampu membentuk majoriti mudah 112 kerusi selepas pilihan raya umum nanti.

Ini kerana PRU15 bakal menyaksikan berlakunya pertembungan pelbagai penjuru antara Perikatan Nasional (PN), Gerakan Tanah Air (GTA), PH dan BN sekali gus meningkatkan risiko perpecahan undi.

PERANAN

Mengulas lanjut, Sivamurugan berkata, beliau percaya Sabah dan Sarawak berkemungkinan memainkan peranan besar dalam menentukan pembentukan Kerajaan Persekutuan nanti.

Sehubungan itu, katanya, pembentukan Kerajaan Persekutuan nanti mungkin bergantung kepada kecenderungan GPS dan GRS terhadap pujukan mana-mana parti politik dari Semenanjung.

Beliau juga tidak menolak pertembungan banyak parti dalam PRU15 mampu memberi kelebihan kepada PH.

“Dalam PRU14 lepas, yang untung adalah PH apabila wujud pertembungan khususnya diantara PH, Pas dan BN di kawasan yang berpotensi berlaku perpecahan undi.

“Namun, kita juga tidak boleh menolak pengundi sebelum ini protes dan kembali memihak kepada BN serta pengundi atas pagar kini boleh membandingkan dua pentadbiran.

“Namun, senario dan sentimen sudah berubah, jadi kena tunggu sehingga hari penamaan calon, cara berkempen dan isu dibawa yang boleh dijadikan rujukan mempe­ngaruhi (pe­ngundi) nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN