PETALING JAYA: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) telah memiliki senarai pendek calon jurulatih yang bakal membimbing skuad Sang Kenari pada musim depan.
Perkara itu diakui Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KDA FC, Khamal Idris Ali berkata, ada beberapa nama telah disenarai pendek untuk mengendali pasukan musim depan.
“Buat masa sekarang saya hanya boleh maklumkan ada beberapa calon yang kita masih tengok dan teliti untuk menggalas tugas ketua jurulatih KDA FC.
“Siapa dan nama saya tidak boleh dedah buat masa sekarang,” katanya ringkas kepada Utusan Malaysia, semalam.
Dalam pada itu, Khamal mengumumkan ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak tidak akan bersama pasukan pada sepak mula saingan Piala Malaysia.
“KDA FC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala sumbangan khidmat Aidil bersama pasukan sepanjang empat musim di bumi Jelapang Padi.
“KDA FC mengucapkan selamat maju jaya dengan kerjaya kejurulatihan beliau di masa depan dan percaya pengalaman kejurulatihannya cukup berharga bagi mana-mana kelab di liga domestik dan Asean,” katanya.
Sepanjang empat musim membimbing pasukan itu, Aidil mencatatkan beberapa kejayaan antaranya Juara Piala FA 2019, Naib Juara Liga Super 2020 dan 2021 serta layak ke peringkat separuh akhir Zon Asean Piala AFC 2022.
Selain itu, individu berasal dari Singapura tersebut turut membawa KDA FC layak tiga tahun berturut-turut ke perlawanan play-off Liga Juara-Juara AFC 2020 dan ke saingan Piala AFC pada 2021 dan tahun ini.-UTUSAN