Kawalan terlalu lama, peniaga enggan jual telur, bela ayam -

Kawalan terlalu lama, peniaga enggan jual telur, bela ayam

ROSOL Wahid melancarkan perasmian REDI Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan Bazar JB di Bazar Karat, Johor Bahru disini. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pelaksanaan kawalan harga telur ayam bersubsidi yang terlalu lama menyebabkan ramai peniaga enggan menjual telur dan membela ayam telur.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, keadaan itu mendorong kekurangan bekalan telur bersubsidi dalam pasaran yang berlaku di Kota Bharu, Kelantan. 

Katanya, isu yang dikesan sejak seminggu lalu itu diketengahkan dalam Mesyuarat Jihad Inflasi yang dipengerusikan oleh Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa.

“Alasan yang diberikan peniaga ialah kerajaan membuat kawalan harga terlalu lama, dahulunya dilakukan untuk tempoh dua minggu sahaja contohnya ketika musim perayaan dan sebagainya.

“Apabila dilakukan terlalu lama, peniaga terpaksa menyerap kos sedia ada yang dilaporkan meningkat seperti kos makanan, pengangkutan serta nilai ringgit rendah untuk membeli makanan import.

“Oleh itu, kita minta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan untuk melihat perkara ini dengan serius kerana ia akan memberi kesan yang kurang baik sekiranya tidak diatasi,” katanya mengulas isu kekurangan bekalan telur bersubsidi dalam pasaran.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) Peringkat Negeri Johor di Bazar JB, malam tadi. 

Semalam, Annuar dilaporkan berkata, cadangan menaikkan subsidi bagi telur ayam gred kawalan akan dibawa dalam mesyuarat Kabinet hari ini susulan kekurangan bekalan telur gred kawalan dalam pasaran ketika ini.

Katanya, tinjauan mendapati, pengeluar dan pengedar mendakwa, subsidi tiga sen bagi telur gred kawalan A, B dan C tidak menarik kerana kos ditanggung adalah lebih tinggi.

“Ini menyebabkan pengeluar lebih menumpukan kepada mengeluarkan telur gred premium yang harganya tidak dikawal, menyebabkan bekalan telur gred kawalan berkurangan.

“Oleh kerana di luar skop jawatankuasa untuk memberi kelulusan, ia akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri esok (hari ini) kerana membabitkan implikasi kewangan berikutan nilai yang diluluskan setakat ini adalah RM34 juta,” katanya sambil memaklumkan kementeriannya bersedia  bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bagi mengatasi isu ini. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya