Jangan politikkan kes culik dikaitkan Mossad  - Utusan Malaysia

Jangan politikkan kes culik dikaitkan Mossad 

HAMZAH Zainudin (kiri) menyampaikan bantuan Deepavali kepada penduduk di Dewan Terbuka Kampung Ulu Sepetang di Larut hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LARUT: Parti-parti politik diingatkan agar tidak menjadikan kes penculikan baru-baru ini yang dikaitkan dengan agensi keselamatan Israel, Mossad dijadikan propaganda politik khususnya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, dari segi keselamatan negara, tindakan pantas Polis diRaja Malaysia (PDRM) wajar dipuji kerana berjaya menyelesaikan kes itu tidak sampai 48 jam dan kes itu tidak wajar dipolitikkan.

“Apa lagi yang harus kita persoalkan dalam isu ini? Rasanya tidak perlu dijadikan modal untuk dipolitikkan.

“Walaupun dikatakan suspek (kes culik) merupakan ahli PKR, pada saya, ini bukan salah parti tetapi kesalahan individu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan Deepavali di Dewan Terbuka Kampung Ulu Sepetang di sini hari ini.

Terdahulu, tular dalam media sosial dakwaan bahawa dua daripada 11 individu yang ditahan berhubungan satu kejadian penculikan lelaki Palestin di Jalan Mayang di ibu negara  pada 28 September lalu merupakan anggota PKR serta ada kaitan dengan parti.

Individu-individu tersebut didakwa punyai hubungan dengan Mossad.

Menurut Hamzah, tidak ada parti yang tahu tentang peribadi ahli mereka secara terperinci ketika membuat permohonan keahlian parti.

“Mana-mana parti tidak pernah tahu pun perangai setiap individu ketika memohon keahlian.

“Ketika pendaftaran, hanya tengok pada kad pengenalan sahaja, mana ada kita selidik satu persatu tentang keperibadian mereka ketika membuat permohonan.

“Jadi dalam isu yang dipolitikkan sekarang ini, rasanya tidak kena sekiranya menyalahkan parti sedangkan itu adalah kesalahan individu,” katanya.

Menurut Hamzah, anggota risikan PDRM sentiasa bersiap sedia memantau pergerakan dan aktiviti Mossad di seluruh negara.

Katanya, bagaimana pun sebarang maklumat berkaitan kes itu tidak boleh didedahkan kerana berkaitan keselamatan negara.

“Jadi, jangan persoalkan macam-macam berkaitan isu itu, biarkan pihak polis menjalankan siasatan terperinci dan jangan dijadikan isu ini sebagai modal murahan untuk berpolitik,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya