KUALA LUMPUR: “Tak usah tanya saya mengapa saya tidak pilih parti lain. Ini adalah pilihan saya.”
Demikian komen ringkas bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Xavier Jayakumar selepas diminta mengulas mengenai penyertaannya ke dalam Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Xavier berkata, tiada keperluan untuk dibandingkan mengapa beliau tidak memilih Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Barisan Nasional (BN).
“Ini pilihan saya, itu sahaja. Saya tidak mahu memberikan serta mengulas dengan memberikan jawapan lain.
“Kita tengok masa depan nanti macam mana. Sekarang ini apa yang kita tahu, pilihan raya umum semakin menghampiri,” katanya.
Semalam, Presiden Pengganti PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin mengesahkan Xavier yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuala Langat dan Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr. Santhara Kumar menyertai parti itu.
Pengumuman itu dibuat oleh Zuraida ketika membuat ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Tahunan Pertama 2022 PBM pada Sabtu.
Dengan penyertaan mereka, PBM kini mempunyai enam ahli Parlimen termasuk Zuraida (Ampang), Steven Choong (Tebrau), Larry Sng (Julau) dan Mohamaddin Ketapi (Lahad Datu).
Lima daripada mereka memenangi kerusi di bawah tiket PKR pada pilihan raya umum lalu pada 2018 manakala Mohamaddin bertanding di bawah Parti Warisan. – UTUSAN










