Fazura menangis lawat Jahidah yang masih koma - Utusan Malaysia

Fazura menangis lawat Jahidah yang masih koma

NUR Fazura Sharifuddin dan Fattah bergambar bersama Fauziah (kiri sekali) ketika melawat Jahidah dan bayinya, Eshan Nufail (dipangku Fauziah) di Seremban baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Selebriti  Nur Fazura Sharifuddin  menangis sebaik melihat Jahidah Nordin, 43, yang terlantar dan masih koma  selepas menjadi mangsa keganasan rumah tangga di Bandar Sri Sendayan semalam.

Adik mangsa, Fauziah Nordin, 40, berkata, Nur Fazura datang bersama suaminya, Fattah Amin untuk melawat kakak dan bayinya, Eshan Nufail yang kini berusia 11 bulan.

Perkara itu dikongsikan Fauziah di akaun Facebook miliknya semalam dan memaklumkan Nur Fazura menangis serta tidak sanggup melihat keadaan Jahidah yang terlantar.

“Semasa masuk bilik tengok kakak, Fazura tak boleh nak masuk sebab dia dah sebak menangis di luar bilik, tidak sanggup tengok keadaan kak Jahidah.

“Suami (Fattah) dia pujuk kuatkan hati tengok kak Jahidah, baiknya hati Fazura, suami serta team, datang melawat kak Jahidah,” tulisnya.

Fauziah berkata, Nur Fazura dan Fattah yang datang bersama pasukan Mukmin Pro telah meluangkan masa lebih kurang dua jam, malah Nufail kelihatan selesa dengan pasangan selebriti itu.

“Walaupun kedua-dua selebriti itu orang terkenal, tetapi sangat merendah diri kerana sanggup datang melawat Kak Jahidah dan Nufail, memang pemurah sangat dia.

“Fazura kata kalau nak apa-apa beritahu sahaja, Nufail dia nak bagi susu macam anak dia minum sebab dia kesian Nufail kan berat tidak cukup, tidak boleh duduk lagi kena jumpa fisioterapi, pakar, dia nak bagi keperluan Nufail,” katanya ketika dihubungi.

Fauziah turut berkata, rezekinya dapat berjumpa pelakon berkenaan yang disifatkan peramah dan tidak kekok bergaul.

Sebelum ini, media melaporkan dalam kejadian pada 4 Mei 2021, Jahidah yang menetap di Johor Bahru koma disebabkan kecederaan parah pada kepala dengan tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak dipukul suaminya yang berusia 38 tahun. 

Jahidah pada mulanya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan kemudian dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar di sini atas permintaan keluarga dan nasihat pihak hospital.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN