Dominasi politik anak beranak di PRU15 - Utusan Malaysia

Dominasi politik anak beranak di PRU15

Ahli politik anak beranak yang terus dominasi dalam politik Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kerusi-kerusi Parlimen yang dipertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dijangka menyaksikan beberapa bakal calon terdiri daripada mereka yang mempunyai pertalian keluarga.

Ada yang bertanding sebagai satu keluarga dan ada yang bertanding sehingga ke cucu bagi meneruskan legasi keluarga di kawasan masing-masing.

Ia turut melibatkan pertalian keluarga dengan bekas Perdana Menteri, bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas Ketua Pembangkang.

Pengaruh bapa-bapa calon dalam politik memudahkan anak mereka untuk meraih kemenangan dalam pilihan raya, walaupun tidak mempunyai perwatakan atau pandangan yang sama.

Ini menunjukkan, ahli keluarga seseorang ahli politik itu turut menjadi salah satu strategi bagi mempertahan kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya.

ANAK-ANAK BEKAS PERDANA MENTERI

Datuk Seri Mukhriz Mahathir dijangka bertanding di Parlimen Jerlun buat kali ketiga namun kali ini mewakili Parti Pejuang, parti yang ditubuhkan bapanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Jika ini berlaku, bermakna Mukhriz bertanding di Jerlun dengan tiga parti berbeza iaitu Pejuang (2022), Bersatu (2018) dan UMNO (2008).

Pemimpin berusia 57 tahun itu juga bertanding bersama-sama bapanya buat kali kedua dalam PRU, dengan Dr. Mahathir disebut-sebut mempertahan kerusi Langkawi.

Mukhriz menjadi antara anak bekas Perdana Menteri yang mengikut jejak bapanya dalam politik sehingga dilantik sebagai Menteri Besar Kedah sebanyak dua kali iaitu pada 2013 dan 2018.

Beliau dijangka meneruskan legasi bapanya sebagai peneraju Pejuang dan Gerakan Tanah Air (GTA).

Selain Mahathir, legasi Tun Hussein Onn pula diteruskan anaknya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Pemimpin berusia 61 tahun itu diramal bertanding di Sembrong buat kali kelima dalam PRU15 selepas mempertahan kerusi itu sejak 2004.

Beliau mula aktif dalam politik pada 1990-an dan meraih kemenangan di Parlimen Tenggara pada 1995 dan 1999.

Sejak itu, beliau memegang pelbagai jawatan dalam politik dan kerajaan antaranya Naib Presiden UMNO, Menteri Pendidikan, Menteri Dalam Negeri, Menteri Luar dan terkini Menteri Pertahanan.

Terbaharu, legasi Datuk Seri Najib Razak di Parlimen Pekan mungkin diteruskan oleh anaknya, Datuk Mohd. Nizar Najib.

Najib sendiri telah meneruskan legasi bapanya, Tun Abdul Razak yang menyandang kerusi itu sejak 1959.

Kali ini, kerusi itu kemungkinan ditandingi cucunya yang kini merupakan Ketua Pemuda UMNO Pekan. Malah, Nizar juga dikatakan akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Pekan sama ada di Chini, Bebar, Peramu Jaya atau Pulau Manis.

LEGASI PEMIMPIN UMNO

Penggantungan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman selama enam tahun sebagai ahli UMNO membuka laluan kepada anaknya, Dr. Faizal atau Sri Rahayu membuat kemunculan bertanding di Parlimen Pasir Salak.

Faizal dilihat calon sesuai memandangkan beliau sendiri adalah Naib Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak.

Walaupun digantung, Tajuddin yang menyandang kerusi Pasir Salak sejak 2008 masih lagi seorang pemimpin yang berpengaruh dan mendapat sokongan majoriti daripada pengundi di kawasannya.

Kemungkinan yang hampir sama juga boleh berlaku kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selepas bebas daripada tuduhan rasuah.

Beliau masih popular dalam kalangan pengundi Parlimen Putrajaya, namun ada kemungkinan beliau akan memberi laluan kepada anaknya Tengku Iqbal Munawwir yang kini merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya.

ANWAR DAN KELUARGA

Legasi Datuk Seri Anwar Ibrahim di Permatang Pauh diteruskan oleh isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sejak 1999.

Wan Azizah memainkan peranan penting dalam memastikan Anwar terus relevan dalam politik negara dengan menubuhkan parti baharu yang kini dikenali sebagai PKR, selain memegang pelbagai jawatan penting antaranya Presiden PKR, Ketua Pembangkang dan Timbalan Perdana Menteri.

Kerusi Permatang Pauh kemudian disandang pula oleh anaknya, Nurul Izzah Anwar setelah bertanding di Lembah Pantai pada 2008 dan 2013 selain memegang jawatan tinggi antaranya Naib Presiden PKR.

Dalam PRU15, mereka sekeluarga masih lagi bertanding dengan Anwar di Tambun, Nurul Izzah di Permatang Pauh dan Wan Azizah yang dikatakan turut berminat dicalonkan sekali lagi.

KELUARGA LIM DAN KARPAL SINGH

Lim Guan Eng kini meneruskan legasi bapanya, Lim Kit Siang yang bersara tahun ini selepas lebih 60 tahun aktif dalam politik serta menjadi ketua pembangkang sebanyak tiga kali dalam kariernya.

Namun, Guan Eng meninggalkan legasi lebih besar apabila beliau bukan sahaja memegang jawatan tertinggi parti seperti Setiausaha Agung DAP, malah mengetuai partinya membentuk kerajaan di bawah Pakatan Harapan (PH) dan dilantik sebagai Menteri Kewangan.

Beliau yang kini merupakan Pengerusi DAP dijangka bertanding sekali lagi dalam PRU15 selepas menyandang kerusi Parlimen Bagan sejak 2008.

Seorang lagi pemimpin berpengaruh DAP, mendiang Karpal Singh meninggalkan legasi besar dalam politik dan perjuangan beliau kini diteruskan dua anaknya, Gobind Singh Deo dan Ramkarpal Singh.

Kerusi Parlimen Bukit Gelugor yang ditandingi Karpal sebelum ini kini disandang oleh Ramkarpal manakala Gobind menyandang kerusi Parlimen Puchong sejak 2008 dan kini merupakan Timbalan Pengerusi DAP.

ANAK-ANAK PEMIMPIN PAS DAN AMANAH

Beberapa pemimpin Pas juga meninggalkan legasi antaranya Tan Sri Abdul Hadi Awang, diteruskan oleh Muhammad Khalil Abdul Hadi yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk.

Begitu juga dengan legasi Nik Aziz Nik Mat yang diteruskan oleh Nik Mohamed Abduh Nik Aziz dan Nik Omar Nik Aziz.

Seorang lagi tokoh Pas, Yusof Rawa pula diteruskan oleh Mujahid Yusof dengan parti Amanah, apabila menyandang kerusi Parit Buntar sejak 2008.

ADIK BERADIK

Situasi Khalid Abdul Samad agak unik apabila beliau mengikut jejak langkah abangnya, Shahrir Samad menceburi bidang politik namun dengan parti yang berbeza.

Pemimpin berusia 65 tahun itu memulakan karier politiknya dengan Pas sebelum menyertai Amanah manakala Shahrir pula aktif dengan UMNO sejak muda.

Khalid mengesahkan bertanding di Titiwangsa manakala Shahrir tidak bertanding dalam PRU15 bagi memberi laluan kepada muka baharu.

Namun, PRU15 kemungkinan besa menyaksikan pertembungan antara adik beradik apabila Azwan Ali mengesahkan beliau bertanding melawan abangnya sendiri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Parlimen Gombak.

SABAH DAN SARAWAK

Legasi bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman diteruskan oleh adiknya, Datuk Seri Anifah Aman dan anaknya, Datuk Yamani Hafez Musa yang kini menyandang kerusi Parlimen Sipitang.

Timbalan Ketua Menteri II Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan pula sering melawan abangnya, bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan terutama di kerusi Parlimen Keningau pada 2008 dan 2013.

Selain itu, Tan Sri Joseph Kurup yang menyandang kerusi Parlimen Pensiangan sejak 2008 kini diteruskan oleh anaknya, Arthur yang menang kerusi parlimen tersebut pada PRU14.

Di Sarawak, legasi Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud diteruskan oleh beberapa keturunannya.

Anak lelakinya, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib pernah menyandang kerusi Parlimen Kota Samarahan pada 2008 dan pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Pelancongan.

Anak perempuannya, Datuk Hanifah Hajar Taib pula menyandang kerusi Parlimen Mukah serta memegang jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).

Legasi beliau turut diteruskan oleh cucunya, Abdul Aziz Isa Marindo yang kini aktif bersama DAP dan PH Sarawak.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN