Dana RM114 juta sokong usahawan luar bandar  - Utusan Malaysia

Dana RM114 juta sokong usahawan luar bandar 

MAHDZIR Khalid (tiga dari kanan) melakukan gimik penutupan Mini KUD Padang Terap di Kuala Nerang, hari ini. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERANG: Lebih RM114 juta dana diperuntukkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi menyokong perkembangan 64,000 usahawan luar bandar tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peruntukan itu adalah bagi menyediakan ekosistem kepada golongan tersebut untuk meluaskan pasaran dan meningkatkan pendapatan.

Katanya, penganjuran Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) merupakan antara inisiatif KPLB bagi memperkasakan ekosistem sedia ada untuk usahawan terlibat.

“Program ini menyediakan platform kepada semua pihak terlibat dalam rantaian keusahawanan termasuk pengeluar, pembekal, pemborong dan pengedar untuk menjalin kerjasama strategik termasuk meluaskan jaringan perniagaan.

“Melalui program ini juga, kita dapat mengumpul maklumat dan maklum balas daripada usahawan luar bandar mengenai keberkesanan program pengukuhan keusahawanan yang dilaksanakan agensi di bawah KPLB,” katanya selepas merasmikan penutupan Mini KUD Padang Terap, hari ini.

Menurut Mahdzir, hampir kesemua agensi di bawah KPLB mempunyai program khusus untuk pembangunan usahawan luar bandar.

Sementara itu, kata beliau, Mini KUD Padang Terap mencatatkan nilai jualan tunai lebih RM200,000 dengan kehadiran kira-kira 30,000 pengunjung sepanjang tiga hari sejak Khamis lalu.

“Ia melepasi sasaran awal sebanyak RM200,000 dan jika kita mengambil kira sesi padanan perniagaan, nilai keseluruhan yang berjaya dicatatkan mencecah RM450,000,” jelasnya.

Tambahnya, lebih 100 usahawan menyertai Mini KUD Padang Terap daripada kategori makanan dan minuman, fesyen pakaian wanita, lelaki dan kanak-kanak, kecantikan dan kesihatan, kraftangan dan produk pertanian.

“Paling mencuri tumpuan pengunjung adalah sesi jualan murah beg beras 5 kilogram dan seekor ayam berharga hanya RM10,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN