PASIR PUTEH: Calon bebas dilihat sukar untuk menang mana-mana kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kerana pengundi lebih selesa memilih calon yang mempunyai parti.
Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, pengundi masa kini melihat perspektif tersebut secara profesional dalam memilih parti yang akan menjadi suara mereka pada sidang Dewan Rakyat.
“Pada saya, PRU-15 ini, rakyat sukar untuk menerima calon bebas sebab calon tanpa mewakili pertubuhan politik tidak akan ke mana. Sekadar bersemangat untuk berjuang atas sebab-sebab tertentu yang tersirat dan tersurat.
“Kalau saya sendiri yang tampil sebagai calon bebas pun, saya tidak akan mampu bergerak sebagaimana sekarang dalam memberi perkhidmatan yang menyeluruh kepada rakyat,” katanya selepas diminta mengulas tindakan bekas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali yang juga penyandang kerusi Parlimen Kuala Nerus untuk bertanding sebagai bebas atau Barisan Nasional (BN) pada PRU-15 ini.
Dalam perkembangan lain, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II memberitahu, Pas tidak pernah gentar berhadapan calon bebas atau mana-mana parti yang diwakili Mohd. Khairudidin.
Katanya, Pas optimis kerusi berkenaan akan berpihak kepada Pas menerusi kerjasama Perikatan Nasional (PN).
“Kita tidak menghadapi apa-apa cabaran di Kuala Nerus. Tidak adalah sebarang masalah di mana perkembangan yang digembar-gemburkan mengenai penampilan (Mohd. Khairuddin) tidak memberi sebarang kesan.
“Sokongan padu pengundi adalah sebagaimana sebelumnya,”ujarnya. –UTUSAN