JOHOR BAHRU: Sekarang bukan masa yang sesuai bagi Barisan Nasional (BN) untuk menerima mana-mana parti termasuk Parti Bangsa Malaysia (PBM) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hingga kini BN masih belum membuat ketetapan mengenai permohonan PBM sama ada diterima atau tidak.
“Selagi kita tak buat keputusan, maka dia dekat luarlah (gabungan BN). Ada kita buat keputusan? Tak ada, jadi, dia dekat luarlah.
“Kita tidak katakan begitu (tidak menerima PBM), tetapi, kita ada masa-masanya dan sekarang bukanlah masanya untuk terima mana-mana parti,” katanya selepas merasmikan penubuhan cawangan UMNO yang baharu iaitu Cawangan UMNO D’rimba, Seri Alam dekat sini hari ini.
Khamis lalu, pengasas PBM, Larry Sng Wei Shien dilaporkan berkata, PBM akan bertanding pada PRU-15 menggunakan lambangnya sendiri kerana BN tidak menerima penyertaannya dalam gabungan itu.
Pada Selasa lalu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, BN tidak menolak PBM sebagai komponen parti itu dan setakat ini BN masih mempertimbangkan permohonan parti berkenaan.
Julai lalu, PBM dilaporkan menghantar permohonan rasmi untuk menyertai BN bagi menghadapi PRU-15, namun hingga kini pimpinan gabungan itu dilaporkan masih memperhalusinya bersama-sama permohonan beberapa parti lain.
BN kini dianggotai empat parti utama, iaitu UMNO, MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Friends of BN pula dianggotai Parti Makkal Sakti, Parti Cinta Malaysia (PCM), Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF), Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), Parti Bersatu India Malaysia (MUIP) dan Parti Punjabi Malaysia (PPM).
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, parti tidak mahu terburu-buru membuat keputusan dan tidak mahu menjadi seperti Gerakan Tanah Air (GTA) yang terbuka untuk membentuk gabungan.
“Kalau kita lihat, GTA ini macam peminta sedekah. Jadi, saya ingat tak apalah, kita bersaing dan tengok sokongan rakyat pada setiap parti.
“Selepas itu kita boleh buat keputusan, apa-apa pun lepas PRU-15, sekarang ini kita hanya perlu tumpu kepada parti masing masing,” ujarnya. –UTUSAN