Bomba lancar MTL Red Team hadapi banjir - Utusan Malaysia

Bomba lancar MTL Red Team hadapi banjir

MOHAMMAD Hamdan Wahid (enam kanan) melihat perbarisan kawad anggota Pasukan Gerak Cepat (MTL RED Team) di Ibu Pejabat JBPM, Putrajaya di sini, hari ini.-UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini melancarkan Pasukan Gerak Cepat (Red Team) bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

Ketua Pengarah, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, penubuhan MTL Red Team bertujuan memantapkan lagi persiapan serta persediaan perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan yang lebih efisien.

Menurutnya, JBPM akan menempatkan pasukan berkenaan di 11 buah negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta dua buah Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Tengah dan Wilayah Utara.

“Seramai 253 anggota, 58 unit bot, 41 unit kenderaan utiliti dan 33 buah lori akan bersedia pada setiap hari di lokasi yang ditetapkan oleh JBPM negeri. 

“Komposisi minimum bagi MTL Red Team ini terdiri daripada 12 anggota, dua unit bot penyelamat, satu unit kenderaan utiliti dan sebuah lori bagi tujuan logistik dan penyelamatan serta pemindahan mangsa banjir. 

“Pasukan ini turut dianggotai seorang anggota dari pasukan khas Emergency Medical Response Services (EMRS) dan dari Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) bagi memastikan operasi penyelamatan berada pada tahap yang optimum,” katanya selepas melancarkan MTL Red Team di sini hari ini.

Tambah beliau, penubuhan pasukan berkenaan merupakan penambahbaikan kepada Regional Forward Base (RFB) yang sebelum ini ditempatkan di tiga lokasi iaitu ABPM Wilayah Timur, Terengganu; Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perda, Pulau Pinang dan BBP Ayer Hitam, Johor.

Mohammad Hamdan berkata, pasukan berkenaan akan bertugas mengikut syif yang ditetapkan dengan masa pusingan tugas sesuatu operasi banjir selama lima hari termasuk perjalanan pergi dan balik.

“Tahun ini, kita buat persediaan dengan lebih rapi bukan sahaja di kawasan panas tertentu tapi juga di kawasan yang bukan panas dan ada kemungkinan berlakunya banjir.

“Apabila berlaku banjir, BBP terdekat akan respons dahulu atau bomba sukarela dan bomba komuniti setempat, tapi, jika berada di tahap kritikal seperti tidak cukup logistik atau terlalu ramai mangsa yang terkandas, jadi, Red Team negeri berdekatan akan turun untuk membantu,” ujarnya.

Dalam perkembangan berlainan, Mohammad Hamdan berkata, sejumlah 226 kes lemas direkodkan sejak awal tahun sehingga kini.

Katanya, jumlah kes tertinggi dilaporkan berlaku di sungai dan tali air membabitkan 136 kes diikuti pantai sebanyak 50 kes, tasik dan lombong (21 kes), air terjun (17 kes) dan dua kes di pembentungan.

“Berdasarkan analisa yang dijalankan, ramai mangsa lemas merupakan orang luar dari kawasan tersebut dan mereka tidak mengetahui dari segi topografi dan persekitaraan sungai atau tali air di situ.

“Sebab itu dalam musim tengkujuh, kita nasihat supaya tangguh dahulu aktiviti rekreasi di air di kawasan tertentu seperti jeram, air terjun dan pergunungan,” ujarnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN