JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) Johor akan memperkasakan strategi ‘Keluargaku Pengundi BN’ dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini bagi memastikan kemenangan parti terbesar Melayu itu.
Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, strategi berkenaan mampu mengingatkan pengundi supaya tidak lagi mudah terpedaya dengan janji-janji yang diberikan parti pembangkang, khususnya Pakatan Harapan (PH) pada PRU 15.
“Dahulu, anak-anak mempengaruhi ibu bapa mereka agar jangan mengundi BN, tetapi kali ini kita mempunyai strategi tersendiri bagi memastikan ibu bapa yang mempengaruhi anak-anak mereka untuk mengundi BN.
“Antaranya, dengan mengingatkan mereka terhadap janji-janji yang ditaburkan PH yang kemudiannya tidak ditunaikan, antaranya tol percuma dan memansuhkan pinjaman PTPTN.
“Jadi, kita gesa kesemua 26 bahagian laksanakan strategi yang dirancang agar dapat memberi manfaat dan membantu kemenangan calon yang akan dikemukakan nanti,” katanya selepas Majlis Ramah Mesra Penerangan UMNO Johor Bersama Pengamal Media di Hotel Thistle, di sini malam tadi.
Sementara itu, beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Tenggara memberitahu, pihaknya juga akan memberi penerangan kepada pengundi negeri ini bagi mengelakkan berlakunya undian silang.
“Masyarakat perlu diberi kefahaman agar undi silang tidak berlaku iaitu mereka anggap Johor dah diberi kepada BN, tetapi tidak mahu beri BN jadi wakil di peringkat pusat, itu kita tidak mahu.
“Seperti kita tahu, kali ini pengundi berdepan dengan banyak maklumat menerusi media sosial. Jadi, jentera kita perlu terangkan dengan jelas agar pengundi memilih kestabilan dan kemakmuran diselaraskan di peringkat negeri dan Pusat.
“Tak guna jika kita (BN) ada kerajaan negeri Johor, tetapi tidak bersama-sama dengan kerajaan Pusat. Jadi, UMNO dan BN Johor akan lebih agresif ke arah perkara itu,” jelasnya.
Mengulas tentang calon-calon BN Johor, beliau yakin majoriti calon yang diletakkan adalah individu berpengalaman dan akan dapat bekerjasama baik dengan petugas media. –UTUSAN









