KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan belanjawan terbesar dalam sejarah dengan pelbagai insentif dan bantuan untuk hampir setiap lapisan masyarakat selain mempertahankan ekonomi ketika dunia berdepan kelembapan dan negara akan mengadakan pilihan raya umum tidak lama lagi.
Bajet 2023 menyaksikan Putrajaya memperuntukkan RM372 bilion atau RM40 bilion lebih tinggi berbanding RM332.1 bilion yang diperuntukkan tahun lalu bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi yang dijangka menyederhana tahun hadapan.
Perbelanjaan mengurus kerajaan termasuk gaji kakitangan awam, pembayaran hutang, subsidi, bantuan dan operasi memperkasa jentera kerajaan mencapai RM272 bilion berbanding RM233 bilion tahun ini.
Peruntukan pembangunan juga meningkat kepada RM95 bilion berbanding RM75.6 bilion pada tahun 2022 dengan kerajaan menumpukan kepada pembangunan lebuh raya, sistem rel, kemudahan kesihatan dan pendidikan.
Sebanyak RM5 bilion diperuntukkan untuk Kumpulan Wang Covid-19.
Bajet 2023 memperuntukkan jumlah yang besar untuk kebajikan rakyat pada ketika 21 juta pengundi termasuk lima juta pengundi muda, akan memilih kerajaan baharu sebelum September tahun depan.
Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dijangka diadakan dalam masa terdekat, dengan Bajet 2023 dilihat sebagai platform untuk meyakinkan pengundi mengenai kekukuhan ekonomi negara.
Dalam Bajet 2023 selain bantuan tunai kepada golongan miskin, Putrajaya mengurangkan cukai pendapatan persendirian dan perniagaan kecil, diskaun hutang pendidikan PTPTN, bantuan langsung kepada petani, pesawah dan nelayan serta geran khas dan pinjaman rendah faedah.
Sebanyak RM55 bilion untuk subsidi, bantuan dan insentif bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat. Kerajaan juga mengurangkan duti setem dan pelbagai cukai lain selain menyediakan pembiayaan dengan kadar faedah yang rendah.
Tahun ini kerajaan membelanjakan RM77 bilion dalam bentuk bantuan dan subsidi dan pemberian wang tunai langsung mencecah RM8 bilion menerusi skim Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).
Tekanan kepada kewangan berkurangan tahun depan berikutan pengurangan kos berkaitan Covid-19 yang mencecah RM23 bilion tahun ini. Bagaimanapun, ada kebimbangan pendapatan dan kutipan cukai negara lebih rendah selain hutang negara semakin meningkat.
Kerajaan juga mengambil kira persekitaran global yang tidak menentu, ketegangan geopolitik dan pertumbuhan ekonomi dunia yang lebih perlahan serta permintaan dan harga komoditi yang lebih rendah.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Bajet 2023 bersifat berkembang bagi menyokong kebajikan rakyat dan reformasi ekonomi dengan dasar fiskal yang akomodatif.
“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, Malaysia tidak boleh lari daripada tempias perkembangan global yang kian mencabar ini. Maka, kadar pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun 2023 dijangka menyederhana iaitu antara empat hingga lima peratus,” katanya ketika membentangkan Bajet 2023.
Tengku Zafrul berkata, Bajet 2023 menekankan dasar fiskal yang mengembang serta membina daya tahan negara bagi mendepani cabaran ekonomi yang lebih perlahan.
Beliau berkata, ekonomi global akan berkembang pada kadar 2.9 peratus tahun dan Malaysia tidak terlepas daripada merasai tempias perkembangan global.
Katanya, ekonomi Malaysia dijangka menyederhana antara empat hingga lima peratus berbanding pertumbuhan ekonomi 6.5 hingga tujuh peratus tahun ini 2022.
Tengku Zafrul berkata, ekoran kenaikan harga komoditi dan barangan serta tekanan inflasi, subsidi dan bantuan meningkat daripada RM31 bilion kepada RM77 bilion.
Pada masa sama, beliau memberi komitmen kerajaan mengurang kadar defisit 5.8 peratus tahun ini kepada 5.5 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2023 menerusi melaksanakan konsolidasi fiskal.
“Dengan jangkaan kutipan hasil RM272.6 bilion, defisit fiskal 2023 diunjur berkurang kepada 5.5 peratus KDNK berbanding 5.8 peratus pada 2022. Berteraskan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana, paras defisit bagi 2023 hingga 2025 dijangka terus berkurang kepada purata 4.4 peratus berbanding KDNK,” katanya dalam ucapan 102 muka surat ketika pembentangan selama dua jam.
Terdapat kebimbangan mengenai defisit kewangan negara akan melebar dengan peruntukan belanjawan lebih besar sekali gus meningkatkan lagi hutang negara yang mencecah hampir RM1 trilion.
Berdasarkan tinjauan ekonomi, kerajaan menjangkakan pendapatan bukan cukai susut 22 peratus pada RM67 bilion tahun hadapan berbanding 2022 kerana penurunan dividen daripada agensi berkaitan kerajaan.
“Bajet 2023 ini diharap dapat menjadi penawar seterusnya kepada pelbagai keperitan yang dialami rakyat buat masa ini. Moga-moga ia dapat terus menyerlahkan jalan ke hari esok, di mana Insyallah, menanti masa depan yang lebih cerah,” katanya sebelum mencadangkan Bajet 2023. – UTUSAN










