Azie kembali ke pangkuan suami, anak - Utusan Malaysia

Azie kembali ke pangkuan suami, anak

ROSNAZIRAH MOHD. NAIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Ejen jualan kosmetik Rosnazirah Mohd. Naim atau Azie, yang 17 hari menjadi mangsa culik dengan dilarikan ke Thailand pada 13 September lalu kembali ke pangkuan suami, anak dan keluarganya semalam.

Azie, 36, tiba di rumah mentuanya di Jalan Kelochor di sini pada pukul 2.50 petang dengan diiringi Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.

Sebaik sahaja turun dari kereta, mangsa menangis sambil memeluk kedua-dua ibu bapanya, Mohd. Naim Awang,70, dan ibunya, Zahasnah Mohd. Zain, 61, yang menunggu di depan rumah.

Bagaimanapun, suami Azie yang didakwa turut berada di rumah tidak kelihatan.
Selepas itu, ahli keluarga wanita itu membaca doa selamat kerana rasa `bertuah’ Azie berjaya diselamatkan.

Sementara itu, Muhammad Zaki ketika ditemui berkata, Azie mungkin masih trauma walaupun pihaknya sudah menjalankan sesi kaunseling.

“Kes penculikan ini mendapat liputan meluas dan kita dengan bantuan semua pihak berjaya menyelamatkan mangsa dan membawanya pulang ke pangkuan keluarga dalam keadaan baik.

“Soal keselamatan mangsa selepas ini, keluarga perlu adakan perbincangan mengenai apa langkah seterusnya kerana tidak semestinya bergantung kepada pihak polis semata-mata,” katanya.

SELAMAT

Mengulas kejadian itu, Muhammad Zaki berkata, walaupun mangsa sudah selamat, namun ada banyak yang perlu dipertimbangkan dalam siasatan.

“Selagi ada perkara yang menyalahi undang-undang, polis akan terus siasat,” katanya.

Dalam kejadian pada 13 September lalu, Azie yang juga ibu kepada seorang anak diculik sebelum mangsa dilarikan ke Thailand menerusi Sungai Golok.

Mangsa berjaya diselamatkan dan dibawa pulang ke negara ini pada 29 September lalu hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan polis Thailand.

Tujuh lelaki tempatan turut ditahan berhubung kes itu di tiga negeri iaitu Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur.

Muhamad Zaki berkata, daripada tujuh yang ditahan, tiga daripadanya dibebaskan, manakala empat masih ditahan.

“Mereka ditahan untuk dijalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN