PASIR PUTEH: Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menawarkan diri untuk sekali lagi bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Pasir Puteh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bagaimanapun, menurut beliau, segala keputusan terserah kepada pucuk pimpinan parti selain Ketua Pemuda UMNO itu bersedia untuk menentang calon penyandang Parlimen Pasir Puteh daripada Pas.
Asyraf yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh berkata, jentera pilihan raya di peringkat bahagian dan Pusat Daerah Mengundi telah digerakkan dalam usaha memikat pengundi muda agar berpihak kepada BN di Parlimen tersebut.
“Terserah sama ada saya terpilih atau sebaliknya kerana yang lebih utama adalah memastikan UMNO kembali mentadbir negara.
“Gerak kerja dan penawaran khidmat kepada rakyat lebih menjadi keutamaan,” kata beliau selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Puteh Kali ke-26 di Dewan UMNO Uthmaniyiah Pulau Lima di sini semalam.
Asyraf Wajdi memberitahu , UMNO Bahagian Pasir Puteh nekad dan bersiap sedia untuk menawan kerusi Parlimen Pasir Puteh bagi memastikan Kerajaan Persekutuan kembali diterajui UMNO dan BN.
Katanya, perubahan perlu dilakukan termasuk menentang Perikatan Nasional (PN) yang sudah tidak mencapai kata sepakat dan persefahaman untuk gandingan kerjasama dengan Pas seperti yang termeterai dalam Muafakat Nasional (MN).
“Kenyataan dan keputusan pucuk pimpinan Pas sudah menggambarkan pendirian muktamad mereka untuk bersama dengan PN bukan bersama BN atau UMNO,” katanya.
Pada PRU14 kerusi Parlimen Pasir Puteh disandang Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh daripada Pas selepas menewaskan Asyraf Wajdi pada PRU14 dengan majoriti 1,360 undi.- UTUSAN