KANGAR: Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari sedia menentang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Parlimen Gombak jika pucuk pimpinan memilih beliau bertanding di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke 15 (PRU15).
Amirudin berkata, sebagai anggota parti, beliau patuh kepada arahan dan akan menjalankan tugas dengan sebaik-baiknya bagi mempertahankan kemenangan PKR di Parlimen berkenaan yang dimenangi sejak tahun 2008.
Bagaimanapun, menurut beliau, keputusan rasmi sama ada beliau bertanding di kerusi tersebut atau sebaliknya hanya akan diketahui menerusi pengumuman esok.
“Esok akan ada pengumuman rasmi (berhubung pencalonan) dan saya tak dapat umumkan perkara ini lagi kerana bukan bawah bidang kuasa saya.
“Tapi sememangnya ada permintaan rakan-rakan dan jentera parti (untuk bertanding di Gombak),” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis minum petang bersama jentera Parlimen Kangar di Derma’s Corner di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor akan dicalonkan untuk bertanding di Parlimen Gombak pada PRU15.
Kata Anwar, parti sedia menghantar ‘panglima’ Selangor untuk bertanding di kerusi tersebut.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, beliau juga yakin berdasarkan rekod perkhidmatan PKR di Parlimen Gombak, pengundi di kawasan itu masih setia bersama parti berkenaan pada pilihan raya kali ini.
“Kita akan pastikan jentera kita kerja sekuat mungkin untuk dapatkan kepercayaan sepenuhnya daripada rakyat,” katanya.
Sebagai rekod, pada PRU14, kerusi Parlimen Gombak dimenangi Mohamed Azmin yang bertanding atas tiket PKR dengan majoriti 48,721 undi dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahim Kamarudin dan Pas, Ir. Khairil Nizam.
Namun Mohamed Azmin telah meninggalkan PKR pada Februari 2020 menerusi Langkah Sheraton bersama beberapa pimpinan lain sehingga menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).- UTUSAN