Amanah gesa SPRM siasat segera isu nadir bumi -

Amanah gesa SPRM siasat segera isu nadir bumi

DR. Ismail Salleh (dua dari kanan) bersama Asmirul Anuar Aris (dua dari kiri) menunjukkan fail berisi dokumen untuk diserahkan kepada SPRM sebelum membuat laporan di Pejabat SPRM Kedah di Alor Setar, hari ini. -UTUSAN/MOHD RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar segera menyiasat isu kecurian nadir bumi atau rare earth element (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik yang didedahkan melalui laporan muka depan Utusan Malaysia, semalam.

Laporan tersebut dibuat oleh Timbalan Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr. Ismail Salleh bersama Setiausaha parti itu, Asmirul Anuar Aris di Pejabat SPRM Kedah, di sini kira-kira pukul 12 tengah hari ini.

Menurut Ismail, terdapat terlalu banyak keraguan dalam isu tersebut yang menuntut penjelasan daripada pelbagai pihak termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, kerajaan negeri serta agensi-agensi berwajib.

“Pertamanya, isu ini boleh diibaratkan berlaku di laman rumah Menteri Besar sendiri kerana ia terletak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri yang diwakili beliau. Dalam masa sama, beliau juga Pengerusi Menteri Besar Incorporated (MBI) iaitu syarikat milik kerajaan negeri (GLC) yang dipercayai menjadi rakan kongsi kepada syarikat tempatan yang diberikan kebenaran untuk meneroka mineral berkenaan di Bukit Enggang.

“Saya difahamkan, papan tanda memaparkan logo MBI di kawasan itu sudah pun dicabut. Dalam keadaan kawasan itu tidak boleh dimasuki orang ramai, bagaimana agaknya kecurian ini boleh berlaku sejak dua tahun lalu?,” katanya selepas membuat laporan di sini hari ini.

Tambahnya, kegagalan pihak berwajib termasuk Jabatan Perhutanan mengesan kegiatan itu juga meragukan ketika para penduduk sudah lama menyatakan rasa curiga terhadap kegiatan tersebut, terutamanya setelah melihat kelibat lori-lori besar bertutup melalui jalan berkenaan.

“Paling mengecewakan, saya sendiri pernah bertanya tentang status REE pada Sidang DUN tahun ini dan jawapan diberikan seolah-olah tiada perkembangan lanjut selain pemberian lesen kepada sebuah syarikat untuk meneroka.

“Pada akhirnya, kita dikejutkan pula dengan pendedahan kecurian ini dan saya anggap perkara ini seolah-olah tak tercapai dek akal,” katanya.

Dalam pada itu Asmirul berkata, rangkaian sindiket yang mencuri REE itu perlu disiasat sepenuhnya kerana perkara itu boleh diibaratkan sebagai pengkhianatan kepada negeri dan negara.

“Kalau sudah dua tahun dicuri, ke mana REE ini dihantar? Jadi, siasatan itu perlu dibuat terhadap banyak pihak termasuk mungkin pelabuhan-pelabuhan di utara tanah air, Pejabat Daerah dan Tanah Sik serta Pejabat Tanah dan Galian,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan bahawa pihaknya ada menerima laporan tersebut.

“Setakat ini, baru satu laporan sahaja yang diterima berhubung perkara tersebut, namun, siasatan awal sudah pun kami jalankan bagi mengenal pasti sama ada berlaku sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan bidang kuasa SPRM.

“Kami juga sebenarnya sudah pun ke lokasi dan telah mengambil sampel galian tersebut untuk membantu siasatan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya