AirAsia perkenal laluan penerbangan terus Pulau Pinang ke Bali -

AirAsia perkenal laluan penerbangan terus Pulau Pinang ke Bali

YEOH SOON HIN (dua dari kiri) dan Liyana Mahizzan (dua dari kanan) dalam sidang akhbar memperkenalkan laluan penerbangan baharu AirAsia antara Pulau Pinang dan Bali, Indonesia di George Town hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Syarikat penerbangan, AirAsia Malaysia memperkenalkan laluan baharu penerbangan terus antarabangsa kepada pelanggannya iaitu dari Pulau Pinang ke Denpasar, Bali, Indonesia bermula  20 Oktober ini.

Ketua Komersial AirAsia Malaysia, Liyana Mahizzan berkata, pengenalan itu adalah bukti komitmen AirAsia Malaysia untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan pilihan di rantau ini sejajar dengan memorandum kerjasama (MOC) yang ditandatangani dengan Penang Global Tourism (PGT) pada Ogos lalu. 

”Pelancaran laluan terus baharu ini bukan sahaja menawarkan perjalanan yang lancar untuk para tetamu kami, malah, akan meningkatkan kemasukan pelancong serantau dan menyokong ekonomi tempatan di kedua-dua buah negara.

”Ini juga bertepatan dengan misi kami untuk memperkasakan rakyat tempatan dan kesejahteraan masyarakat dengan merangsang perjalanan udara dan memacu sektor pelancongan,” katanya dalam sidang akhbar sempena pelancaran laluan baharu Pulau Pinang – Bali di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin dan Konsul Jeneral Republik Indonesia di Pulau Pinang, Bambang Suharto.

Penerbangan dua kali seminggu itu akan menambah kekerapan AirAsia Malaysia ke Pulau Pinang dengan 156 penerbangan setiap minggu.  

Sempena meraikan pengumuman itu, AirAsia Malaysia akan menawarkan tambang berpatutan antara Bali dan Pulau Pinang daripada RM159 (termasuk semua) sehala bermula hari ini hingga 16 Oktober untuk tempoh perjalanan antara 20 Oktober 2022 dan 25 Mac 2023.

Menurut Liyana, Pulau Pinang memainkan peranan penting dalam pertumbuhan AirAsia Malaysia dan sebagai pemain utama dengan bahagian pasaran terbesar sebanyak 50 peratus sebagai sebuah kumpulan.

”Kami juga akan terus mengembangkan perkhidmatan ke negeri ini pada masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, Soon Hin berkata, pihaknya berbesar hati kerana AirAsia melancarkan laluan terus antarabangsa baharu yang menghubungkan rantau ini lebih dekat dengan Pulau Pinang. 

”Memandangkan ini adalah laluan terus pertama dari Pulau Pinang ke Bali, kami berharap ia dapat memanfaatkan peluang ini untuk memperkenalkan negeri ini kepada penduduk di Bali dan pelancong antarabangsa yang lain. 

”Kami percaya ini akan menjadi satu lagi laluan antarabangsa utama ke Pulau Pinang dan kami memuji usaha berterusan AirAsia untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan serantau,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya