BERA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, agenda literasi digital negara atau celik teknologi maklumat (IT) mampu ditingkatkan dan menjadi kenyataan jika Barisan Nasional (BN) terus menerajui negara.
Perdana Menteri berkata, kerajaan sentiasa menitikberatkan penguasaan literasi digital dalam kalangan Keluarga Malaysia terutama ketika negara menempuh era revolusi industri 4.0 dan melangkah ke hadapan menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.
“Industri 4.0 mencakupi penemuan pelbagai teknologi baharu seperti automasi, internet pelbagai benda (IoT), analisis dan data raya, integrasi sistem, penggunaan robotik dan pengkomputeran awan yang bakal merancakkan kemajuan landskap dunia moden.
“Untuk makluman semua, literasi digital yang kita miliki hari ini mewakili sebahagian ilmu yang terlalu kecil berbanding apa yang bakal hadir pada masa hadapan, bahkan, ketika itu, pasaran kerja memerlukan individu berkemahiran tinggi, kreatif dan mempunyai pemikiran kritis,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan Perdana Menteri dan penyerahan komputer #thetaCares di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini hari ini.
Ismail Sabri berkata, dalam revolusi industri 4.0, segala urusan harian manusia akan banyak bergantung kepada teknologi terkini seperti automasi robotik yang dicipta khusus untuk mengoptimumkan keperluan dan keselesaan manusia.
Beliau berkata, penggunaan teknologi mutakhir ini membawa cabaran baharu kepada semua sektor dalam negara ini yang memerlukan mereka berubah seiring dengan transformasi digital untuk kekal berdaya saing.
Katanya, kerajaan turut melancarkan Inisiatif Malaysia Digital (MD) pada Julai lalu yang memberi isyarat kepada dunia bahawa Malaysia bersiap siaga untuk meletakkan negara di saf hadapan dalam sektor ekonomi digital.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan sentiasa mengutamakan pembangunan digital dan kekal komited mewujudkan masyarakat celik teknologi seperti merapatkan jurang digital dalam kalangan belia melalui Pakej Remaja Keluarga Malaysia dengan tawaran langganan pelan data internet dengan hanya RM30 yang dilanjutkan sehingga April 2023.
Selain itu, beliau berkata, kerajaan akan memperluas tafsiran peranti digital di bawah Skim Pembiayaan Komputer dan Telefon Pintar untuk turut merangkumi jam tangan pintar.
Tambahnya, di bawah projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2, kerajaan akan menyediakan 100 peratus liputan internet di kawasan berpenduduk.
“Pelaksanaan Projek Internet Luar Bandar dengan mengoptimumkan jaringan kabel elektrik untuk menyediakan kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi kepada lebih 60,000 penduduk luar bandar.
“Digital Nasional Berhad (DNB) akan memperluas rangkaian 5G di seluruh negara merangkumi 70 peratus kawasan berpendudukan tinggi dan Keluarga Malaysia juga bakal menikmati kelajuan internet lebih pantas dan capaian internet 5G yang lebih murah,” ujarnya. –UTUSAN