KANGAR: Seramai 87,000 atau 30 peratus penduduk di negeri ini tidak berkahwin berdasarkan daripada data Banci Penduduk dan Perumahan 2020 dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Angka tersebut direkodkan daripada jumlah keseluruhan populasi penduduk Perlis iaitu seramai 284,900 orang.
Bagaimanapun, tidak diketahui apakah punca mereka tidak berkahwin memandangkan DOSM hanya bertindak untuk mengumpul data berkenaan sahaja.
Menerusi data yang dikeluarkan itu juga, seramai 4,000 pasangan di Perlis direkodkan bercerai dengan jumlah 14,700 orang balu atau duda.
Manakala pasangan yang direkodkan berkahwin di Perlis pula adalah seramai 116,900.
Mengulas mengenai situasi tersebut, Pegawai Psikologi Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Muhammad Zul Izzat Jamil berkata, perkembangan itu merupakan satu aspek yang membimbangkan berikutan dikhuatiri akan menjadi trend pada masa hadapan dan menyebabkan populasi rakyat Malaysia terjejas.
Katanya, situasi itu juga akan membawa Malaysia menuju ke arah negara menua apabila tiada pertambahan kelahiran baharu disamping memberi kesan dalam aspek ekonomi.
“Ini bakal menyebabkan negara kekurangan tenaga kerja pada masa hadapan apabila populasi masyarakat semakin berkurangan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Dalam pada itu, Muhammad Zul Izzat berkata, terdapat beberapa faktor yang mendorong sebilangan penduduk di Perlis tidak berumah tangga dan antaranya mereka berkemungkinan menganggap perkahwinan sebagai satu bebanan.
Katanya, bagi golongan wanita, mereka lebih menumpukan kepada pelajaran dan karier terlebih dahulu sehingga menganggap tiada keperluan untuk bergantung kepada lelaki.
“Manakala bagi golongan lelaki pula, majoritinya mungkin tidak berkahwin apabila memikirkan tentang pertambahan komitmen mereka di samping peningkatan kos sara hidup khususnya selepas pandemik Covid-19
“Pada zaman ini, golongan wanita juga sudah mempunyai pengetahuan dan mereka pastinya ingin berkahwin dengan seseorang yang stabil dari sudut kewangan.
“Jadi kestabilan ekonomi seseorang memainkan peranan untuk mendorong mereka ke arah perkahwinan,” katanya.
Tambahnya, masyarakat perlu didedahkan tentang manfaat dan kelebihan dalam mendirikan rumah tangga bagi mengubah stigma sebilangan pihak bahawa perkahwinan adalah satu bebanan. –UTUSAN









