KUALA SELANGOR: Sebanyak 720 unit bubu naga bernilai RM46,800 dirampas dalam operasi di sekitar jeti nelayan Bagan Tengkorak, Tanjong Karang di sini, semalam.
Operasi bersepadu itu dilakukan Jabatan Perikanan Negeri Selangor (JPNS), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) bermula pukul 6.30 pagi.
Namun, tiada tangkapan dilakukan dalam operasi sehingga 1.30 tengah hari itu.
JPNS berkata, operasi dilaksanakan hasil aduan awam dan risikan berterusan anggota penguat kuasa.
Katanya, bubu naga merupakan peralatan menangkap ikan tradisional bergerak yang diletakkan di bawah jenis perangkap tidak dibenarkan JPNS.
“Walaupun dikategorikan sebagai bubu, namun ia mempunyai spesifikasi unik yang telah dikenalpasti iaitu memiliki lebih dua injap bagi setiap unit.
“Ia bercanggah dengan Dasar Pelesenan Jabatan Perikanan yang hanya melesenkan bubu yang mempunyai tidak lebih daripada dua injap,” kata kenyataan itu hari ini.
Jelas JPNS, bubu itu kerap dipasang pada jarak satu hingga empat batu nautika dari pantai atau daratan berhampiran.
“Kebiasaannya satu unit boleh menangkap antara 10 hingga 20 kilogram (kg) hasil laut.
“Spesies hidupan laut yang terperangkap dalam bubu itu termasuk anak ikan gelama, sotong kurita, ketuka, ketam, udang dan landak laut,” katanya.
Mengulas lanjut, JPNS menegaskan kes disiasat mengikut Seksyen 11(3)(b) Akta Perikanan 1985.
“Ia melibatkan kesalahan tidak membenarkan pemilikan apa-apa peralatan menangkap ikan tanpa lesen.
“Jika sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.