SUNGAI PETANI: Kesukaran hidup dihadapi sebuah keluarga yang tinggal di Taman Ria Jaya, di sini memaksa Musa Shafie, 75, kini masih mengerah kudrat untuk mencari rezeki demi meraih sedikit pendapatan untuk urusan harian mereka.
Walaupun sudah menginjak usia emas dan sepatutnya menghabiskan masa bermain dengan cucu tetapi peluang itu belum tiba untuk Musa yang memiliki lima orang anak kerana dia perlu keluar mengutip barangan kitar semula sebagai pekerjaannya kini.
“Empat daripada lima anak saya yang terdiri daripada seorang lelaki dan tiga perempuan telah berkahwin dan kehidupan mereka juga sukar kerana hanya bekerja sebagai pemandu lori dan operator kilang sahaja.
“Anak lelaki bongsu juga bekerja sebagai operator kilang dan belum berkahwin serta masih tinggal bersama saya dan isteri. Saya tidak terlalu mahu mengharapkan bantuan anak-anak kerana tidak mahu ganggu kehidupan mereka yang juga hanya cukup-cukup makan.
“Selagi ada kudrat tua ini, saya akan teruskan cari barangan lusuh untuk dijual kerana kerja saya buat ini lebih baik daripada meminta sedekah atau merayu bantuan dan yang penting saya tidak mengganggu orang,” katanya ketika ditemui, semalam.
Musa berkata, dia dan isteri, Aisyah Arif, 65, yang tinggal di situ sejak 10 tahun lalu bersyukur memperoleh rezeki halal, biarpun terpaksa bergelumang dengan bau busuk setiap hari dan sesetengah orang memandang serong kerjaya itu.
“Melalui pendapatan menjual bahan terbuang seperti kertas, kotak, botol dan barangan berasaskan besi inilah saya mampu meneruskan hidup sejak 10 tahun lalu, saya gembira boleh terus dapat wang selepas jual barangan itu di premis pembelian barang terpakai sekitar Taman Ria Jaya ini,” katanya.
Musa yang berasal dari Kodiang berkata, sebelum ini dia menjual ikan di beberapa tempat di Perlis, tetapi selepas perniagaannya mengalami kerugian menyebabkan dia mengambil keputusan menetap di Sungai Petani dan mula menjadi pengutip bahan terbuang menggunakan motosikal yang diubah suai.
“Pendapatan saya tidak menentu dan dengan tenaga yang saya ada ini bolehlah dapat antara RM20 ke RM30 sehari.
“Walaupun tidak boleh bermewah-mewah seperti orang lain, namun pendapatan ini cukup untuk menyara kehidupan kami suami isteri,” katanya yang menghidap penyakit darah tinggi. –UTUSAN