Warga emas balik dari kenduri sesat ditemukan selamat - Utusan Malaysia

Warga emas balik dari kenduri sesat ditemukan selamat

SEORANG warga emas yang dilaporkan hilang selepas menghadiri kenduri di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, Sabtu lalu ditemukan selamat di Lebuh Raya Utara-Selatan, dekat Pagoh, Johor kira-kira pukul 3 petang tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Seorang warga emas, Mohd. Noor Mahamed, 64, yang dilaporkan hilang selepas menghadiri kenduri di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, Sabtu lalu ditemui selamat di Lebuh Raya Utara- Selatan, dekat Pagoh, Johor kira-kira pukul 3 petang tadi.

Perkara itu dimaklumkan oleh anaknya, Muhammad Haikal Mohd. Noor, 21, yang berkata, bapanya ditemukan oleh seorang pemandu lori sekitar pukul 1 tengah hari yang kebetulan ternampak kenderaan dinaiki warga emas itu.

Menurutnya, pemandu lori berkenaan memperoleh maklumat kehilangan bapanya  dalam kumpulan WhatsApp pemandu lori yang disebarkan sejak semalam.

“Alhamdulillah, ayah ditemui selamat. Kebetulan saya memang berada di lebuh raya dan menghala ke selatan. Apabila dapat tahu, saya bergegas ke Machap.

“Bagaimanapun, sepupu saya, Nurshafiqah Zakaria, 25, yang sedang mengisi minyak di hentian rehat dan rawat (RnR) Bukit Gambir juga terlihat ayah.

“Sepupu terus memandu dan keluar di tol berhampiran dan mendapatkan kenderaan ayah. Maklumat pemandu lori itu benar-benar membantu kami dan saya ucapkan terima kasih kepada mereka dan pihak media yang membantu menguar-uarkannya,” katanya hari ini.

Semalam, media melaporkan seorang anak merayu bantuan orang ramai untuk mencari bapanya yang tidak pulang ke rumah di Pedas di sini sejak hari Sabtu lalu setelah menghadiri majlis kesyukuran saudara mereka di Pantai Dalam.

Sementara itu, Nurshafiqah berkata, bapa saudaranya itu keliru dengan persimpangan jalan semasa pulang dan telah tersesat hingga ke Johor.

Menurutnya, sebaik ditemui, bapa saudaranya itu berasa sangat lega apalagi tayar belakang keretanya juga telah pecah.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN