Syor tingkatkan pendapatan pekebun Risda - Utusan Malaysia

Syor tingkatkan pendapatan pekebun Risda

Mahdzir Khalid menyampaikan Anugerah Tokoh Pekebun Kecil kepada penerima pada Majlis Pekebun Kecil Makmur Peringkat Negeri Kedah Tahun 2022 di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka di Padang Terap semalam. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan mengangkat dua syor kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk meningkatkan pendapatan golongan pekebun kecil yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, satu daripada syor tersebut adalah memanjangkan tempoh bantuan musim tengkujuh daripada cuma tiga bulan kepada enam bulan, setiap tahun.

Selain itu, katanya, satu lagi cadangan yang akan dikemukakan adalah untuk meningkatkan harga lantai getah sekerap daripada cuma RM2.50 ketika ini, kepada lebih RM3.

“Bagi cadangan pertama, kos di pihak kerajaan akan meningkat daripada RM200 juta ketika ini kepada RM400 juta setahun. Untuk cadangan meningkatkan harga lantai melebihi RM3 pula, kos keseluruhan yang diperlukan dijangka mencecah RM500 juta.

“Perbezaan kosnya tampak tidak ketara dalam membantu pekebun kecil dan mungkin kerajaan boleh mempertimbang untuk melaksanakan salah satu daripadanya, bergantung kepada cadangan mana yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu hadir ke Program Pekebun Kecil Makmur di Dewan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Naka di sini, semalam.

Risda

Mengulas lanjut kata Mahdzir, pihaknya bersama pengurusan tertinggi Risda akan membincangkan inisiatif tersebut bersama Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi diketuai Datuk Zuraida Kamaruddin, minggu depan.

“Selepas itu, cadangan ini akan dibawa kepada perbincangan bersama Kementerian Kewangan. Apabila selesai perbincangan bersama tiga kementerian ini, inisiatif tersebut akan diangkat kepada Perdana Menteri secepat mungkin.

“Di peringkat itu, terpulang kepada Perdana Menteri sama ada untuk mengarahkan kami membuat kertas kerja bagi diangkat ke Kabinet atau ada keputusan lain,” katanya.

Tambahnya, kertas kerja tersebut turut akan memberi perhatian terhadap golongan penoreh getah yang tidak mempunyai kebun atau tanah sendiri.

“Kadang-kadang beberapa pihak terlepas pandang terhadap golongan ini. Bagi pemilik kebun, mereka ada geran bagi mendaftar untuk mendapat beberapa faedah tetapi bagaimana pula nasib golongan penoreh getah yang tidak memiliki tanah ini?

“Jadi kita mahu turut memberi perhatian terhadap golongan ini. Kita mahu turut raikan mereka agar pendapatan masing-masing, dapat ditingkatkan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya