SUV mewah hilang di pusat servis - Utusan Malaysia

SUV mewah hilang di pusat servis

DENNIS Lee Han Lim (dua dari kanan) berbincang dengan Tay Han Sin (dua dari kiri) selepas mengadakan pertemuan dengan wakil sebuah pusat servis kenderaan di Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pelanggan berputih mata selepas kereta yang dihantar ke sebuah pusat servis kenderaan di Ayer Keroh di sini hilang semasa menjalani penyelenggaraan berjadual.

Tay Han Sin, 49, berkata, kejadian berlaku pada 25 Ogos lalu ketika dia menghantar kereta model Lexus RX300 F Sport untuk penyelenggaraan kali kedua di tempat sama.

Menurutnya, beberapa jam selepas itu dia dimaklumkan keretanya telah dibawa keluar oleh seseorang selepas menjalani penyelenggaraan.

“Saya terkejut apabila pusat servis memaklumkan saya sudah mengambil kereta sedangkan saya baru hendak berbuat demikian. Semakan kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu mendapati seorang lelaki yang tidak dikenali mengambil kunci berkenaan.

“Susulan kejadian itu, aduan di peringkat dalaman dan laporan polis telah dibuat. Bagaimanapun, saya terkilan dengan layanan pusat servis berkenaan yang tidak banyak membantu untuk menyelesaikan masalah ini.

“Saya hanya sempat menggunakan kereta tersebut selama enam bulan. Saya tetap perlu membayar ansuran kereta lebih RM2,000 sebulan meskipun kenderaan itu gagal dikesan sehingga kini,” katanya dalam sidang akhbar di hadapan pusat servis berkenaan di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Pusat Pengaduan Awam MCA Melaka, Dennis Lee Han Lim berkata, setelah hampir sebulan menunggu, masih tiada jawapan kukuh berhubung kejadian diberikan pusat servis terlibat.

Katanya, kes tersebut masih dalam siasatan dalaman membabitkan pelbagai pihak termasuk polis.

“Saya dimaklumkan proses untuk menyelesaikan isu ini akan mengambil sedikit masa. Pihak syarikat dan insurans sudah mengetahui perkara ini dan akan membuat keputusan berdasarkan maklumat yang diterima termasuk siasatan pihak polis.

“Saya menyeru kepada semua pihak untuk meningkatkan ciri keselamatan di premis masing-masing terutamanya yang melibatkan harta milik pelanggan. Kes kecurian membabitkan pusat servis kereta mungkin taktik baharu dan orang ramai diminta lebih berhati-hati,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.