Sultan Selangor lucut darjah kebesaran Najib, Rosmah

Sultan Selangor lucut darjah kebesaran Najib, Rosmah

SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah membatalkan dan menarik semula keahlian darjah kebesaran Selangor daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor berkuat kuasa semalam.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haris Kasim berkata, tindakan itu selaras dengan kuasa prerogatif Sultan Sharafuddin di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dan Statut Darjah Kebesaran berkaitan selain konvensi diamalkan di Selangor.

Katanya, keputusan itu dibuat selepas baginda mempengerusikan Mesyuarat Khas Dewan Diraja Selangor.

Katanya, Najib dikurniakan Keahlian Darjah kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) Kelas Pertama yang membawa gelaran Datuk Seri pada 2004 dan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) Kelas Kedua yang membawa gelaran Datuk pada 1992.

“Beliau didakwa di Mah­kamah Tinggi atas beberapa pertuduhan melibatkan kes salah guna kuasa, pecah ama­nah dan penggubahan wang haram ke atas dana SRC International Sdn. Bhd.

“Pada 23 Ogos lalu, Mah­kamah Persekutuan me­nge­kal­kan sabitan dan hukuman terhadap Najib yang diputuskan mahkamah sebelum ini.

“Justeru, keahlian beliau sebagai penyandang S.P.M.S. dan D.P.M.S. ditarik balik dan dibatalkan serta merta,” katanya dalam kenyataan semalam.

Jelas Haris yang juga Pendaftar Darjah Kebesaran negeri, Rosmah dikurniakan S.P.M.S. yang membawa gelaran Datin Paduka Seri pada 2005.

“Beliau didakwa di mah­kamah atas tiga pertuduhan rasuah. Pada 1 September lalu, mah­kamah mensabitkan dan menjatuhkan hukuman terhadap beliau atas pertuduhan itu.

Dalam pada itu, kata Haris, pembatalan dan penarikan semula keahlian darjah kebesaran itu turut berkuat kuasa bagi bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Mohd. Arif Ab. Rahman.

“Mohd. Arif disabitkan dan dijatuhi hukuman di mahkamah atas pertuduhan rasuah sebelum ia dikekalkan pada 23 Januari 2021,” katanya.

Sementara itu, Sultan Sha­rafuddin menzahirkan sokongan sepenuhnya kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai kuasa prerogatif pengampunan yang tidak boleh dilaksanakan sewenangnya demi kepentingan pihak tertentu.

Baginda bertitah, proses pengampunan perlu mengikut lunas undang-undang dan prosedur diperuntukkan me­ngikut Perlembagaan dan undang-undang berkaitan.

“Rakyat perlu memberi sepenuh kepercayaan kepada sistem kehakiman negara tanpa perlu melemparkan tohmahan tidak berasas atau mengetahui fakta dan alasan-alasan penghakiman terhadap sesuatu kes.

“Sebarang tohmahan akan mengundang persepsi negatif terhadap kebebasan badan kehakiman dan menghakis keyakinan atau kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran keadilan.

“Ia juga akan secara tidak langsung menjejaskan nama baik negara di peringkat antarabangsa,” titah baginda menerusi kenyataan Istana Alam Shah Klang, semalam.

Sultan Sharafuddin bertitah, Perlembagaan Persekutuan meletakkan martabat institusi kehakiman di tahap tinggi sebagai badan bebas dan berwibawa selain benteng terakhir yang perlu dipertahankan demi memastikan pentadbiran keadilan dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

“Beta mengikuti rapat dan mengambil perhatian perkembangan isu berkaitan sistem pentadbiran keadilan negara sejak kebelakangan ini.

“Rakyat diseru sentiasa menghormati kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan kehakiman yang merupakan teras dan paksi kepada kedaulatan sistem demokrasi raja berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya