PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini sedang berurusan untuk mendapatkan keterangan daripada saksi-saksi yang berada di luar negara berhubung kepincangan projek perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, sebanyak 20 sehingga 25 saksi telah diambil keterangan bagi membantu siasatan berkenaan.
Kata sumber itu, keterangan diambil melibatkan syarikat swasta yang berada di dalam dan luar negara yang mempunyai kaitan dengan projek perolehan berkenaan.
“Siasatan membabitkan kes berkenaan masih diteruskan SPRM ketika ini,” kata sumber itu.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada akan terdapat pertuduhan lain selepas bekas Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) didakwa baru-baru ini, sumber berkata, ia bergantung kepada keterangan yang diambil.
“Belum pasti lagi sama ada akan ada pertuduhan atau tidak, ia bergantung kepada keterangan dan hasil siasatan kelak,” jelasnya.
Pada 19 Ogos lalu, Utusan Malaysia mendedahkan, siasatan SPRM berkenaan kepincangan projek berkenaan dijangka akan membongkarkan lagi kesalahan-kesalahan rasuah.
Perkara itu susulan, ada lagi kertas siasatan sedang dalam proses dilengkapkan SPRM sebelum mengesyorkan pertuduhan beberapa lagi individu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Dedah Utusan Malaysia, siasatan tersebut susulan dapatan siasatan SPRM mengenai terdapat sebahagian daripada transaksi berlaku di Singapura dan sejumlah wang telah disalurkan kepada beberapa akaun bank milik individu di republik berkenaan.
Namun, apabila membabitkan sesuatu siasatan melibatkan negara luar, ia sedikit rumit memandangkan proses berkenaan perlu membuat permohonan Mutual Legal Assistance (MLA) melalui AG untuk mengambil keterangan saksi-saksi atau bukti yang berada di luar negara.
Terdahulu, seorang bekas Panglima TLDM mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan pecah amanah dana sebuah syarikat perkapalan berjumlah RM21.08 juta melibatkan projek pembinaan kapal tempur pesisir pantai (LCS).
Panglima (B) Tan Sri Ahmad Ramli Mohd. Nor, 78, mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan pecah amanah dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM21.08 juta tanpa kelulusan ahli lembaga pengarah Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNS).
Bagi semua pertuduhan, beliau yang juga bekas pengarah urusan BNS didakwa meluluskan pembayaran tersebut kepada tiga buah syarikat antarabangsa, kira-kira 12 tahun lalu.
Skandal kepincangan projek perolehan LCS itu menarik perhatian ramai apabila Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya mendedahkan tiada kapal diterima setakat ini walhal TLDM sepatutnya menerima LCS pertama pada April 2019 setelah membuat bayaran RM6.083 bilion.
Bayaran secara rundingan terus itu diberikan kepada BNS agar lima kapal LCS disiapkan dalam tempoh 10 tahun berdasarkan kontrak asal yang ditandatangani.
Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, mendedahkan lebihan kos projek LCS berjumlah RM1.4 bilion, dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lama daripada projek kapal peronda lama.
SPRM kemudian menerima laporan berhubung projek LCS susulan kegagalan pihak terbabit menyerahkan kapal tersebut mengikut tempoh ditetapkan meskipun projek telah bermula pada 2013.
Pada 11 Ogos lalu, SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan beberapa kertas siasatan membabitkan mereka yang mempunyai kaitan dengan dakwaan penyelewengan berkenaan dilengkapkan bagi mempertimbangkan pertuduhan terhadap beberapa individu.
Projek ini adalah merupakan perolehan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan dengan kos keseluruhan RM9 bilion yang mana lima kapal seharusnya disiapkan dan diserah pada bulan ini. –UTUSAN