PASIR PUTEH: Kerajaan negeri memperuntukkan RM891,950 bagi membantu seramai 226 petani di daerah ini yang terkesan dengan fenomena hujan lebat pertengahan Februari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau Dan Alam Sekitar negeri, Tuan Mohd. Saripudin Tuan Ismail berkata, bantuan berbentuk input pertanian itu membabitkan 201 orang penanam tembikai dan sebaliknya cili menerusi Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA).
Menurutnya, bantuan seperti baja, plastik penutup batas, benih, peralatan mesin pertanian serta kerja-kerja infrastruktur di ladang bertujuan meringankan beban perbelanjaan menguruskan penanaman musim ini.
“Besar harapan kita agar bantuan ini dapat membangkitkan semangat mereka untuk terus bertani dan menjadi tonggak dalam memastikan rantaian bekalan makanan negeri terus mencukupi,” katanya ketika ditemui selepas penyampaian PPSPA di Dewan Penggawa Semerak, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Tuan Mohd. Saripudin memberitahu, Semerak merupakan salah satu projek yang konsisten dan banyak menyumbang kepada pengeluaran hasil tembikai di negeri ini.
Katanya, kawasan ini mencatatkan pengeluaran tembikai sebanyak 5,974.70 metrik tan di kawasan seluas 276.20hektar pada tahun lalu.
“Hasil pulangan jualan tembikai tahun lalu ialah sebanyak RM10,097.20 dengan mererusi bantuan Lembaga Pemasaran Hasil Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Syarikat BEHO Supply Sdn.Bhd selain pasaran sendiri di kawasan berdekatan,” ujarnya. –UTUSAN