ALOR SETAR: Spekulasi Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin untuk bertanding di Parlimen Alor Setar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) disambut baik dan sentiasa dialu-alukan oleh UMNO bahagian itu.
Ketua Bahagiannya, Datuk Mohd. Yusof Ismail berkata, Khairy merupakan aset kepimpinan masa depan negara dan menjadi kelebihan kepada Parlimen Alor Setar sekiranya beliau benar-benar bertanding di kawasan itu.
“Saya ada dengar juga KJ (Khairy) nak mai (datang) bertanding di Alor Setar dan saya mengalu-alukan kerana yang penting UMNO yang bertanding. Siapa (calon) itu saya terbuka sebab saya orang meniaga, politik nombor dua, meniaga nombor satu.
“Kalau ada calon macam KJ, dia aset negara. Kalau dia bersetuju untuk bertanding di Alor Setar (saya ucapkan) selamat datang, kita memang alu-alukan, jadi kita pun boleh bernaung di bawah payung yang besar,” katanya pada sidang akhbar Program Ramah Mesra dan Jualan Harga Patut peringkat Parlimen Alor Setar di sini, hari ini.
Sebelum ini, Khairy secara berseloroh mengatakan akan bertanding di Kedah pada PRU15 dan memaklumkan perkara itu tidak mustahil kerana ibunya berasal dari negeri ini.
Pagi ini, Ahli Parlimen Rembau itu menyatakan beliau sehingga kini masih belum mempunyai kawasan untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang selepas dilaporkan sedia memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk bertanding di situ.
Bagaimanapun, Mohamad menafikan bahawa beliau menginginkan kerusi Parlimen berkenaan.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau berkata, apa yang diberitahu kepada umum selama ini hanya hasratnya untuk bertanding pada peringkat Parlimen selepas memegang kerusi Dewan Undangan Negeri sejak 2004.
“Saya tidak pernah kata akan bertanding kerusi Parlimen Rembau. Saya cuma kata sudah sampai masa untuk saya bertanding peringkat Parlimen.
“Dengan kedudukan sebagai Timbalan Presiden parti, sudah tentu saya akan diberi peluang untuk memilih kerusi mana yang hendak saya tandingi,” kata Mohamad.
Sementara itu, Mohd. Yusof mengesahkan telah mengadakan perbincangan dengan Khairy berhubung perkara berkenaan selepas timbul spekulasi beliau akan bertanding di Parlimen Alor Setar.
Bagaimanapun, menurut beliau, terdapat juga kemungkinan bekas Ketua Pemuda UMNO itu menolak pelawaan berkenaan dan kekal bertanding di Negeri Sembilan.
“(Saya) ada lah (berhubung dengan Khairy), kita bincang sedikit sebanyak, saya kata, ‘boss’ kalau you fikir sesuai saya setuju sahaja, saya pun memang jemput dia sebab dia pun dengan Kedah bukanlah lari banyak, mak dia pun orang sini, orang Alor Setar, jadi kalau tiada tempat lain boleh bertanding di sini.
“Tetapi mungkin dia tak mai kot, jauh. Mungkin dia selesa di Negeri Sembilan, ramai juga bagi dia (tawaran) sebab macam saya kata tadi dia aset negara dan kita perlukan orang macam dia di masa depan,” katanya.
Untuk rekod, UMNO Bahagian Alor Setar sebelum ini turut meminta agar kerusi Parlimen itu diberikan kepada parti berkenaan berbanding MCA dalam misi merebut kembali kawasan terbabit yang memiliki undi majoriti orang Melayu. –UTUSAN