PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) kekal dengan pendirian agar Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan pada tahun ini walaupun berlangsung dalam musim tengkujuh.
Perkara itu disuarakan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam satu majlis Pemuda BN baru-baru ini dengan menegaskan, jentera parti telah bersedia sekiranya parlimen dibubarkan dalam terdekat.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menegaskan, penetapan masa yang sesuai dan segera penting bagi memenangi PRU15, malah pada masa yang sama mengelakkan pembangkang melemahkan parti dengan pelbagai fitnah dan tohmahan terhadap BN.
“Pembangkang sebenarnya takut menghadapi PRU15 kerana bimbang kalah setelah kepercayaan rakyat kepada Pakatan Harapan (PH) hilang setelah bekas Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang enggan menyerahkan jawatan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di samping kegagalan melaksanakan manifesto pilihan raya.
“Pembangkang juga menghasut rakyat kononnya mengadakan PRU tahun ini terdedah kepada banjir. Mereka lupa bekas Perdana Menteri terakhir mereka, Dr. Mahathir sendiri pernah mengadakan PRU pada November 1999, tak pula jadi isu besar.
“Terbaharu, tahun lepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak diadakan pada 18 Disember 2021. Pembangkang pula tewas teruk
“Sebab itu mereka perlu masa untuk menghasut rakyat agar tidak mengundi BN. Jelajah PH masih sekerat jalan dan dijangka berakhir Februari tahun depan. BN tidak akan memberikan hayat politik terhadap PH dan musuh BN untuk memberikan mereka kelebihan menyelesaikan jelajah memburukkan BN hingga ke tahun depan,” katanya.
Selain Ahmad Zahid, kalangan pemimpin tertinggi komponen dan akar umbi BN juga mahu PRU15 dilaksanakan segera demi menjamin kestabilan tanah air setelah menyaksikan pertukaran dua Perdana Menteri selepas gabungan itu tumbang dalam PRU14.
Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO turut berulang-kali membayangkan PRU15 diadakan dalam tempoh terdekat walaupun tidak menyebut tarikhnya.
“Bila tarikhnya? Saya dan Presiden akan bincang. Sikit lagi, tidak lama lagi’. Di hadapan pemimpin BN termasuk Top 5, kita kena bincang-bincang cepat setelah melihat semangat semua Pemuda BN hari ini,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan semalam secara terang-terangan memberitahu, pilihan raya wajar diadakan supaya sebuah kerajaan baharu yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah dapat dipilih oleh rakyat jika Perdana Menteri terus gagal mengurus ekonomi dan negara dengan baik.
Namun, pada masa yang sama katanya, beliau belum sampai ke tahap mahu mendesak Perdana Menteri membubarkan Parlimen meskipun BN mahu pilihan raya diadakan segera.
Muhyiddin berkata, malah isu kejatuhan nilai ringgit tidak dipandang serius dan Perdana Menteri tidak tampil menjelaskan langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk membendung kejatuhan nilai ringgit.
“Tetapi saya pun terfikir, jika Perdana Menteri terus gagal mengurus ekonomi dan negara dengan baik, eloklah pilihan raya diadakan supaya sebuah kerajaan baharu yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah dapat dipilih oleh rakyat,” katanya.
Sementara itu, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sebelum ini menegaskan, parti pimpinannya sudah bersiap sedia untuk berhadapan PRU15 pada bila-bila masa kerana mandat diberikan rakyat pada PRU14 bukan kepada BN.
Malah, beliau menegaskan, PRU15 sepatutnya diadakan lebih awal ketika berlakunya Langkah Sheraton kerana peralihan kuasa tidak boleh menjadi budaya bagi menstabilkan negara.
“Kita nampak keyakinan masyarakat dalam negara, malah luar negara juga tidak yakin dengan pemerintahan di Malaysia hari ini,” katanya dalam Majlis Bersama Masyarakat Setempat Parlimen Sepanggar sebelum ini.
Sementara itu, Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Datuk Othman Desa berkata, musibah banjir bukan penghalang untuk melaksanakan PRU15 kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ada perancangan sendiri jika memilih tempoh tersebut.
Justeru itu katanya, semua parti termasuk pembangkang serta gabungan-gabungan baharu perlu bersedia berdepan PRU15 jika diadakan pada musim tengkujuh hujung tahun ini.
“Memang lazimnya banjir melanda hujung tahun tetapi perubahan iklim ini kita tidak boleh jangka. Apa yang boleh saya cakap, kita adakan sahaja PRU15. Banjir itu adalah ketentuan Allah dan kita seharusnya buat perancangan terbaik,” katanya.
Sementara itu, pembangkang akan meneruskan rancangan mengadakan pungutan suara rakyat pada minggu ini bagi mendesak kerajaan mengutamakan isu ancaman banjir berbanding mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU15) dalam tempoh terdekat.
Rata-rata pemimpin pembangkang menyifatkan tindakan Barisan Nasional (BN) mendesak agar parlimen dibubarkan sekarang bersifat terburu-buru sedangkan, kerajaan yang memerintah mempunyai tempoh sehingga Julai tahun depan.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, tindakan mengadakan pungutan suara perlu diambil kerana desakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya Parlimen dibubarkan segera tidak boleh dibiarkan sama sekali dan bersifat angkuh.
Katanya, pendirian Pakatan Harapan (PH) adalah untuk membantu rakyat, berbeza dengan UMNO yang sanggup menolak tepi risiko banjir demi PRU15 diadakan segera demi mencari kuasa.
“Keangkuhan sebegini tidak wajar dibiarkan berterusan tanpa ada tindak balas daripada rakyat. Oleh yang demikian, saya sendiri akan mengusahakan satu pungutan suara rakyat (public referendum) untuk menunjukkan kepada Zahid dan UMNO bahawa rakyat mencemuh parti-parti politik yang galak berebut kuasa hingga mengabaikan persediaan menghadapi banjir.
“Dalam tempoh seminggu dari sekarang, saya akan lancarkan pungutan suara secara digital dan kempen siap siaga banjir supaya rakyat boleh menyatakan desakan mereka agar kerajaan Persekutuan dan negeri memberi sepenuh tumpuan untuk menghadapi banjir.
“Tragedi yang berlaku kebelakangan ini yang melibatkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa sepatutnya menjadi iktibar kepada semua parti untuk tidak ambil mudah isu perubahan iklim dan bencana alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan Ahad lalu.
Desakan sama turut disuarakan oleh Presiden Amanah, Mohamad Sabu ketika berucap dalam Konvensyen Amanah baru-baru ini.
“Mereka ada masa sehingga bulan Julai tahun depan. Kenapa terburu-buru? Berilah keselesaan kepada rakyat,” katanya.
Malah, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan dianggap tidak berhati perut jika PRU15 diadakan ketika rakyat dan negara berdepan banjir.
“Kalau dia buat macam itu harap rakyat dapat tolaklah mereka, tak kesian dan simpati langsung kepada rakyat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengerusi PH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad mendakwa, UMNO akan menyalah guna kuasa segala kemudahan jentera kerajaan seperti helikopter, bot dan lori untuk mengangkut pengundi mereka.
“Pada masa sama, pengundi parti pembangkang akan terkandas dan tidak keluar mengundi. Apakah keutamaan yang akan diberi dalam penggunaan bot ketika itu nanti? Adakah bot akan digunakan untuk menyelamat mangsa atau bot itu akan digunakan untuk membawa rakyat ke pusat pengundian,” katanya.
Desakan agar PRU15 tidak diadakan dalam tempoh musim tengkujuh itu juga melibatkan pemimpin UMNO sendiri, Tan Sri Annuar Musa.
“Apabila musim banjir, mesti nak selamatkan nyawa dulu, mesti mahu selamatkan harta, rumah, manakala pengangkutan mungkin jadi payah, hujan sebagainya. Melihat situasi itu, agaknya selari tak dengan prinsip mengadakan PRU bagi memberi peluang rakyat menggunakan haknya,” kaanya.
Ketua Dewan Muslimat Pas Kelantan, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff turut menyifatkan, pembubaran Parlimen semasa Pantai Timur berhadapan peralihan Monsun Timur Laut akan mengganggu perjalanan PRU15 apabila jentera parti bukan sahaja berdepan dengan kerja berkempen tetapi juga menyelamat mangsa banjir.
“Jadi, kita doa supaya tidak berlaku PRU15 ketika musim banjir dan jika berlaku juga, kena ada persiapan lain untuk menghadapinya,” katanya. – UTUSAN










