KUALA TERENGGANU : Pakatan Harapan (PH) Terengganu mahu membuat kejutan dengan memenangi beberapa kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan menampilkan lebih ramai calon berkarisma dan mampu menang.
Pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, hasil mesyuarat khas PH Terengganu yang diadakan Sabtu lepas juga bersetuju untuk meletakkan calon di semua lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-15 nanti.
Bagaimanapun, beliau berkata, pembahagian kerusi yang melibatkan parti-parti komponen PH iaitu Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP akan dibincangkan lagi dalam masa terdekat.
“Buat masa ini, tiada lagi kata putus yang dimuktamadkan untuk jumlah kerusi yang bakal diagih kepada parti-parti komponen sebaliknya fokus PH Terengganu adalah mengukuhkan gerak kerja dan kerjasama jentera semua parti.
“Struktur kepemimpinan PH Terengganu juga telah selesai diperkemaskan dan kita bersedia untuk masuk ke gelanggang pertarungan bila-bila masa sahaja dari sekarang, sebaik sahaja parlimen dibubarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Raja Kamarul Bahrin yang juga bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, kepimpinan PH Terengganu kini semakin mantap dan kukuh dengan adanya dua timbalan pengerusi yang baharu dilantik iaitu Naib Presiden PKR merangkap Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Pengerusi DAP negeri, Ng Chai Hing.
Selain itu, Raja Kamarul Bahrin yang juga Pengerusi Amanah Terengganu berkata, mesyuarat khas itu juga bersetuju melantik Datin Faizah Ariffin sebagai Ketua Wanita PH negeri manakala jawatan Ketua Pemuda PH Terengganu pula dipimpin oleh Zamir Ghazali.
“Dengan adanya gabungan pemimpin hebat yang berpengalaman luas dari tiga parti ini, PH Terengganu yakin mampu membuat kejutan dalam PRU15 akan datang,” katanya.
Pada PRU-14 yang lalu, PH Terengganu turut meletakkan calon di kesemua 32 kerusi DUN dan lapan parlimen di negeri itu yang menyaksikan berlakunya pertembungan tiga penjuru antara Barisan Nasional, Pas dan PH.
Ketika itu, PH memberi 10 kerusi DUN dan tiga kerusi Parlimen kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) manakala Amanah (tiga Parlimen, 11 DUN) dan PKR (dua Parlimen, 11 DUN).
Walaupun gabungan PH berjaya membentuk kerajaan Persekutuan dan merampas Putrajaya daripada BN, percaturan itu tidak menjadi di Pantai Timur kerana PH tidak memenangi walau satu kerusi pun di negeri Terengganu. –UTUSAN










