PRU15: Jangan tuduh UMNO kejam - Ahmad Maslan - Utusan Malaysia

PRU15: Jangan tuduh UMNO kejam – Ahmad Maslan

AHMAD MASLAN hadir sempena Program Agenda Nasional Malaysia Sihat Peringkat Daerah Pontian di Pontian hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: “Jangan tuduh kami (UMNO) dengan kata-kata tidak elok yang hanya cuba untuk mengelirukan rakyat, perlu ada  bukti dan fakta sebelum mengeluarkan sesuatu perkara.”

Demikian kata  Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri  Ahmad Maslan yang turut menafikan tuduhan serta tohmahan yang dilemparkan oleh pelbagai pihak apabila mencadangkan Pilihan Raya Umum Ke 15 ( PRU15 ) diadakan pada tahun ini.

Menurut beliau, UMNO tidak sekejam itu dan sentiasa mempunyai sifat perikemanusiaan dalam mencadangkan PRU15 boleh diadakan dalam tempoh terdekat.

“Sebelum mencadangkan tarikh PRU15, UMNO terlebih dahulu telah merujuk kepada agensi berkaitan mengenai keadaan cuaca terutamanya pada bulan Disember sama ada sesuai atau sebaliknya.

“Jika tidak dapat dilakukan pada bulan Disember, PRU15 mungkin boleh diadakan lebih awal pada bulan Oktober atau November yang tidak bertembung dengan musim banjir,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Daerah Pontian, di sini hari ini.

Turut hadir, Pegawai Kesihatan Kanan Daerah Pontian, Dr. Surinah Asan.

BANJIR

Ahmad yang  juga Ahli Parlimen Pontian berkata, UMNO juga telah mengambil kira semua yang berkaitan dengan masalah banjir sekiranya PRU15 dan menolak dakwaan tidak peka terhadap situasi tersebut.

“UMNO tidak mencadangkan PRU15 diadakan pada masa tersebut (bulan Disember ) hanya menyatakan dalam tempoh tiga bulan PRU15 boleh diadakan sekiranya Parlimen dibubarkan,” ujarnya.

Mengenai pembebasan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad  Zahid daripada 40  pertuduhan rasuah yang dihadapi tentang Sistem Visa Luar Negara (VLN), Ahmad berkata, UMNO menyambut baik keputusan tersebut.

“Pembebasan beliau tentunya memberikan kesan yang baik kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRU15 dan terus menjadi modal pihak lawan bagi memburukkan kami,” jelasnya.

Semalam Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd. Yazid Mustafa melepas dan membebaskan Ahmad Zahid selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Presiden UMNO berkenaan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN