PRU15 akan jadi mimpi ngeri buat musuh UMNO- Ahmad Zahid -

PRU15 akan jadi mimpi ngeri buat musuh UMNO- Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI mengangkat tangan tanda syukur dan gembira selepas dilepas dan dibebaskan di atas 40 pertuduhan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan menjadi mimpi ngeri buat musuh-musuh UMNO terutamanya buat bekas-bekas pemimpinnya yang melompat keluar meninggalkan parti itu.

Ahmad Zahid berkata, bekas pemimpin UMNO yang melompat parti itu akan dihukum oleh pengundi mereka sendiri sebelum ini dan kini ramai dalam kalangan golongan itu juga takut tewas serta ditolak rakyat kerana prestasi buruk di kawasan masing-masing.

Beliau berkata, PRU15 akan membuktikan terdapat kesepaduan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang mempunyai mekanisme jentera di pelbagai lapisan di akar umbi sekali gus berada dalam momentum terbaik untuk berdepan PRU15 tidak lama lagi.

“Kita tidak gentar di sebalik cubaan pihak tertentu yang cuba menganggu-gugat kesepaduan parti ini kerana takut dan tidak senang dengan pemulihan dan kebangkitan UMNO. Mereka tahu apabila Parlimen bubar maka mimpi ngeri mereka semakin tiba.

“Kepada mereka yang pernah memperkecilkan kekuatan UMNO dan kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN), PRU15 akan membuktikan bahawa terdapat kesepaduan UMNO yang mempunyai mekanisme jentera di pelbagai lapisan di akar umbi.

“Kita tidak gentar di sebalik cubaan pihak tertentu yang cuba mengganggu-gugat kesepaduan parti ini kerana takut dan tidak senang dengan pemulihan dan kebangkitan UMNO,” katanya dalam hantaran Facebooknya semalam.

Ahmad Zahid yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, gelombang ‘UMNO ialah keluarga kita’ akan terus diperkasakan untuk memastikan setiap keluarga besar ahli-ahli UMNO menyertai parti itu secara automatik.

“Dengan ahli 3.4 juta kalau digandakan dengan 5 ahli keluarga kita sekurang-kurangnya, kekuatan UMNO mengatasi kekuatan asas UMNO. Setiap lapisan PDM, cawangan dan bahagian perlu membina asas kekuatan ini.

“Atas prinsip ini jika ahli UMNO bersatu hati dan parti komponen BN bersifat realistik dan bergerak berdasarkan fakta dan data, BN akan kembali teguh dan ampuh. Begitu juga gelombang ‘Keluarga kita BN’ perlu digerakkan secara bersepadu,” katanya.

Sementara itu katanya, beliau terus merafak kesyukuran atas keputusan mahkamah kelmarin yang membuat keputusan membebaskan 40 pertuduhan terhadap dirinya.

“Selama ini saya telah dilabel dengan pelbagai persepsi negatif untuk memperlekeh, memperkecil, menolak UMNO keseluruhan dan juga cubaan untuk menolak saya selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN kerana mereka tahu, tanpa saya, UMNO lebih mudah diperkotak-katikkan sesuka hati mereka.

“Misalnya ada yang sengaja menggunakan label kluster mahkamah kepada saya namun tidak pula menggunakan label tersebut kepada pemimpin pembangkang. Sikap ‘double standard’ ini mencerminkan wajah sebenar musuh politik kita.

“Pengalaman saya dikenakan oleh musuh politik menjadikan saya lebih matang, muhasabah diri, belajar mengenali musuh luaran dan musuh dalam selimut. Saya boleh maafkan tapi saya tidak akan lupakan sebagai pengajaran asam garam politik,” katanya.

Mengulas lanjut, Pengerusi BN itu berkata, beliau kekal berpendirian pendakwaan terhadap dirinya adalah pendakwaan terpilih ketika zaman Pakatan Harapan (PH) kerana telah diminta oleh Tun Dr. Mahathir untuk lompat parti, sertai Bersatu dan membubarkan UMNO. 

“Dr. Mahathir suruh saya maklumkan kepada ahli UMNO supaya sertai Bersatu dan minta saya lupakan UMNO. Secara tegas  saya menolak dan menyatakan kubur saya akan banjir keesokannya, jika saya bubar dan keluar daripada UMNO untuk menyertai parti Bersatu.

“Penolakan tersebut adalah kerana saya tidak akan sekali-kali mengkhianati parti UMNO semata-mata untuk kesenangan peribadi jawatan dan kedudukan. Sedangkan UMNO  adalah teras harapan dan perjuangan orang Melayu khususnya dan menjadi tulang belakang rakyat Malaysia,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN