SHAH ALAM: Polis sudah memanggil beberapa individu bagi membantu siasatan insiden pergaduhan dalam aksi separuh akhir bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) di Stadium Mini Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, individu itu antaranya melibatkan pengadil perlawanan dan pegawai pasukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Kata beliau, pihaknya ada menerima laporan polis berkaitan insiden tersebut.
“Kejadian dipercayai berpunca rasa tidak berpuas hati dengan tindakan layangan kad merah pengadil kepada pasukan Wilayah Persekutuan.
“Siasatan lanjut mengenai insiden itu bagaimanapun masih sedang dijalankan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran buku Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu di Karangkraf di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Pulau Pinang berada di landasan tepat bagi mencipta sejarah memenangi pingat emas pertama acara bola sepak Sukma apabila mara ke final menerusi kemenangan 1-0 ke atas Wilayah Persekutuan, malam tadi.
Namun, aksi separuh akhir itu dicemari kekecohan di penghujung permainan sehingga menyaksikan seorang individu dipercayai barisan kejurulatihan Wilayah Persekutuan dilayangkan kad merah kerana menghambat pengadil, Muhamad Shamil Mohd. Jaafar.
Skuad bimbingan Akmal Rizal Ahmad Rakhli itu akan berdepan Terengganu pada aksi final di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur esok.
Dalam pada itu, Mohd. Iqbal menasihatkan semua pihak tidak terlalu beremosi atau melakukan provokasi seumpamanya.
“Orang ramai diminta tidak sengaja menimbulkan kekecohan dalam sesuatu perlawanan itu sehingga mengganggu ketenteraman awam,” katanya. –UTUSAN