PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengadakan pertemuan pertama dengan Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan semalam.
Kementerian luar berkata, ini merupakan pertemuan julung-julung kali antara kedua-dua pemimpin selepas Sheikh Mohamed dilantik sebagai Presiden baharu UAE berkuat kuasa pada 14 Mei lalu.
“Semasa pertemuan berkenaan, Perdana Menteri dan Presiden UAE telah membincangkan agenda kerjasama serta peluang untuk perkongsian dalam ekonomi, pelaburan dan perdagangan, serta dalam tenaga boleh diperbaharui dan sekuriti makanan.
“Kedua-dua pemimpin juga bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa serta isu-isu berkepentingan bersama,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya semalam.
Kelmarin, Perdana Menteri tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi, UAE pada pukul 8.25 pagi untuk lawatan kerja selama empat hari di negara Timur Tengah itu.
Ketibaan beliau disambut Menteri Tenaga dan Infrastruktur UAE Suhail Mohammed, Al Mazrouei, Duta UAE ke Malaysia, Khalid Ghanim Mohammed Alghaith dan Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar.
Terdahulu, Ismail Sabri memulakan lawatan dengan melawat Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC) yang fokus utama ialah potensi kerjasama antara ADNOC dan Petronas Malaysia dalam bidang minyak dan gas serta tenaga boleh diperbaharui.
Sebelum ini, Kementerian Luar memaklumkan agenda perbincangan utama antara Ismail Sabri dan Sheikh Mohamed ialah meneroka bidang kerjasama berpotensi untuk mengukuhkan lagi kerjasama yang telah lama terjalin dalam pelbagai bidang antara Malaysia dan UAE.
Antara bidang tumpuan baharu ialah ekonomi digital, keselamatan makanan, pendigitalan pendidikan dan tenaga boleh diperbaharui serta penyertaan Malaysia dalam Program Legasi 5 Tahun.
Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar pandangan mengenai pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama serta ummah.
Untuk rekod, pada tahun lalu, UAE adalah rakan dagangan terbesar Malaysia, destinasi eksport kedua terbesar dan sumber import kedua terbesar dalam kalangan negara Asia Barat
Nilai keseluruhan perdagangan Malaysia dengan UAE pada tahun tersebut juga meningkat sebanyak 7.9 peratus kepada RM22.29 bilion (US$5.38 bilion) berbanding RM20.65 bilion (US$4.93 bilion) pada 2020. –UTUSAN