Pindaan akta FAMA buka peluang penternak pasarkan produk -

Pindaan akta FAMA buka peluang penternak pasarkan produk

ZAINAL Abidin Yang Razalli (empat dari kanan) bergambar selepas merasmikan majlis penutup kursus New Breed Marketing Entrepreneur di PTSS di Arau, Perlis hari ini. - UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pindaan 2022 memberi peluang kepada agensi tersebut membantu penternak memasarkan produk mereka di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli berkata, akta tersebut telah lulus serta diwartakan pada 6 September lalu dan kini hanya menunggu dikuatkuasakan.

Katanya, sejak Akta Lembaga Kemajuan Ternak Negara (Maju Ternak) dibubarkan pada tahun 1983, tiada mana-mana agensi mengambil alih peranan dimainkan oleh badan tersebut. 

“Sewaktu pandemik Covid-19 melanda negara, kita dapati sektor pemasaran beberapa komoditi ternakan seperti puyuh dan ayam kampung tidak dapat dipasarkan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Lanjutan itu, FAMA mencadangkan untuk mengambil alih peranan ini bagi membantu kerajaan dengan meminda akta dengan memasukkan takrif pemasaran penternakan yang tiada sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan penutup kursus New Breed Marketing Entrepreneur (NBME) di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan dan Pengarah FAMA negeri, Mohd. Sharizan Mansor.

Dalam perkembangan sama, Zainal Abidin menjelaskan, FAMA menyedari beberapa sektor pemasaran penternakan, contohnya penternakan ayam yang disertai beberapa syarikat tersenarai awam telah stabil.

“FAMA yang kini menyertai sektor pemasaran ternakan bukan mahu bersaing dengan mereka, tetapi untuk melengkapi antara satu sama lain.

“Kita tidak boleh lari daripada bidang tugas dalam takrifan pemasaran yang yang terkandung dalam akta. Kita sebelum ini telah pun membantu mempromosikan produk penternakan seperti menyediakan outlet ayam dan daging di Pasar Tani contohnya,” ujar beliau.

Tambahnya, sekiranya berlaku lambakan, usahawan digalakkan menggunakan segala perkhidmatan kemudahan yang FAMA miliki seperti bilik sejuk beku untuk tujuan penyimpanan.

“Kita juga kini sedang menjalinkan hubungan dengan beberapa agensi lain di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bagi mendapatkan kepakaran dan kemahiran mereka bagi melaksanakan program-program sejajar pindaan akta tersebut,” katanya. –UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.