Syarat wajib Bahasa Melayu, Sejarah turut libatkan sekolah tidak menggunakan kurikulum kebangsaan - Utusan Malaysia

Syarat wajib Bahasa Melayu, Sejarah turut libatkan sekolah tidak menggunakan kurikulum kebangsaan

ZAMBRY Abdul Kadir (empat dari kiri) berswafoto bersama pelajar semasa Majlis Lawatan Kerja Menteri Pendidikan Tinggi ke Unimap, Pauh Putra, Arau, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) masih dalam proses perbincangan berhubung syarat wajib Bahasa Melayu dan Sejarah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum membolehkan pelajar aliran sekolah bukan pendidikan nasional memohon ke universiti awam (UA).

Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, pada minggu lalu, satu pertemuan telah diadakan bersama semua pihak terlibat bagi membincangkan perkara tersebut secara menyeluruh.

Beliau turut menjelaskan bahawa pelaksanaan tersebut juga bakal melibatkan semua sekolah yang tidak menggunakan kurikulum kebangsaan.

“Ini termasuklah melibatkan sekolah antarabangsa, sekolah agama, aliran Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), sekolah aliran arab dan kursus-kursus lain. Jadi ini semua akan diambil kira.

“Kerajaan akan pastikan supaya mesti ada penyelesaian menyeluruh dan tidak melibatkan hanya satu aliran sahaja, kita tak nak ambil pendekatan ad-hoc,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan kerja di Universiti Malaysia Perlis (Unimap) di Pauh Putra, di sini, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, syarat wajib mengambil Bahasa Melayu dan Sejarah dalam SPM perlu dipenuhi terlebih dahulu sebelum membolehkan pelajar daripada aliran sekolah bukan pendidikan nasional memohon ke UA.

Zamry dilaporkan berkata, aliran sekolah bukan pendidikan nasional itu bukan sahaja sekolah dalam aliran UEC, malah turut melibatkan sekolah antarabangsa, sekolah agama atau sekolah aliran arab.

Sebelum itu, media turut melaporkan semua sekolah pelbagai aliran pendidikan termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama serta sekolah dalam aliran UEC diwajibkan untuk mengambil subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dalam SPM.

Menerusi langkah sedemikian, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kontroversi berkaitan isu Bahasa Melayu akan dapat dileraikan, sekali gus hal berkaitan syarat kemasukan ke UA juga tidak lagi berbangkit selepas ini.

Zambry berkata, proses perbincangan tersebut juga belum dimuktamadkan sepenuhnya dan pihaknya akan cuba menyegerakan perkara berkenaan.

“Tapi apa pun proses-proses teknikal masih lagi berterusan jadi kita cubalah untuk muktamadkan secepat mungkin. Dalam masa sama, kita juga mengambil pendekatan untuk mengutamakan semua permasalahan rakyat termasuk melibatkan sistem pendidikan sedia ada di negara ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN