PH tak mahu `dipatuk ular' sekali lagi - Nurul Izzah - Utusan Malaysia

PH tak mahu `dipatuk ular’ sekali lagi – Nurul Izzah

NURUL IZZAH ANWAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) bertegas tidak akan kembali bergabung dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) setelah melalui ‘episod pengkhianatan’.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, keputusan tersebut dibulatkan kerana gabungan itu tidak lagi mahu melalui episod `dipatuk ular’ lebih daripada sekali.

Menurut beliau, kerjasama antara Gerakan Tanah Air (GTA), Perikatan Nasional (PN) dan PH menuju ke PRU15 bukan satu perkara mudah dan beliau sendiri tidak memberi fokus ke arah tersebut.

“Saya kembali kepada pimpinan iaitu kita perkukuhkan PH. Ini bukan satu agenda yang mudah kerana kita melalui pengalaman berada di zaman luar kerajaan dan dalam kerajaan dalam tempoh 22 bulan.

“Jadi kita perhalusi hubungan antara satu sama lain, kita menyasarkan kerusi secara bersama dalam satu gabungan. Biar itu menjadi keutamaan ke arah PRU15.

“Kita selalu utamakan kepentingan untuk membina negara pada masa yang sama kita tidak mahulah dipatuk ular lebih daripada sekali,” kata Nurul Izzah semasa ditemu bual Utusan Malaysia di sini semalam.

Pembangkang

Puteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berkata, pembangkang akan menjadikan persepsi rakyat sebagai garis panduan sebelum melakukan rundingan dengan mana-mana pihak berkaitan ‘khemah besar’.

“Kalau kita berunding, prasyarat mestilah keikhlasan. Jadi, saya ingin perkukuhkan PH dan selebihnya saya fokuskan pada pilihan raya.

“Ingat, rakyat menantikan pembangkang yang bermaruah jadi sebelum kita boleh melangkah untuk menang sebagai sebuah kerajaan yang baharu,” kata wanita itu.

Kelmarin, Presiden PKR menggambarkan kerjasama dengan GTA dilihat agak sukar memandangkan kedua-duanya mempunyai prinsip yang berbeza.

Selain itu, Nurul Izzah berkata, kerjasama antara parti pembangkang bagi membentuk sebuah gabungan bukanlah perkara yang boleh dibuat sewenang-wenangnya.

“Ini bukan satu agenda mudah namun kini antara parti komponen PH, kita perhalusi dengan menyasarkan kerusi untuk PH yang menjadi keutamaan. Selain itu, kita juga fokus kepada persediaan pilihan raya nanti.

“Kita semua tahu pengukuhan PH ini penting kerana kita sama-sama telah menghadapi episod pengkhianatan. Pengukuhan ini digerakkan menerusi inisiatif retreat. Kita komited dengan pemilihan pemimpin utama yang mengetengahkan idealisme,” jelasnya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN