KANGAR: Kerajaan negeri terpaksa menanggung kerugian mencecah RM5.79 juta dalam tempoh 10 tahun berikutan tindakan segelintir rakyat negeri ini yang culas membayar tunggakan cukai tanah.
Jumlah kerugian tersebut direkodkan dari tahun 2012 sehingga 2022 membabitkan 17,217 hak milik dengan kawasan seluas 47,962 hektar.
Selain itu, kerugian tunggakan cukai tanah yang ditanggung kerajaan negeri secara keseluruhan bagi tempoh sehingga 31 Ogos lalu pula adalah RM16.323 juta.
Tanah-tanah terlibat dikenal pasti membabitkan milik persendirian, swasta dan agensi kerajaan di negeri ini.
Bagi tanah bandar berstatus pertanian, fi cukai tanah yang dikenakan adalah sekitar RM96 sehingga RM192.00 bagi setiap hektar, manakala cukai tanah bandar kategori bangunan adalah sekitar RM33 sehingga RM176.00 bagi setiap 100 meter persegi bergantung kepada jenis struktur binaan atas kawasan terlibat.
Meskipun jumlah cukai yang dikenakan tidak begitu membebankan namun masih ramai pihak yang culas dalam melunaskan bayaran berkenaan sehingga menyebabkan kerugian kepada hasil negeri.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Tanah dan Galian (JTG) negeri, Ismasuhaimi Shariff berkata, sehingga 31 Ogos lalu, pihaknya berjaya mengutip cukai tanah bagi tahun semasa sebanyak RM18.551 juta menerusi beberapa tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan sejak pertengahan tahun ini.
“Secara keseluruhan, kita telah berjaya mengutip sebanyak RM1.907 juta tunggakan cukai tanah sehingga kini bagi mencapai sasaran kutipan sebanyak RM2 juta menjelang Disember tahun ini,” katanya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan JTG Perlis melakukan tindakan penguatkuasaan dengan merampas sembilan lot tanah seluas 26,195,02 meter persegi dengan nilai tunggakan cukai RM545,336 di sekitar negeri ini.
Semua lot tanah itu dikenakan Notis Perkembalian Tanah Kepada Kerajaan (Notis 8A) sebagaimana termaktub di bawah Seksyen 100 Kanun Tanah Negara.
Mengulas lanjut, Ismasuhaimi berkata, buat masa ini, pihaknya sedang dalam proses memberi kesedaran kepada pembayar cukai agar mereka dapat melunaskan bayaran tunggakan menerusi beberapa kaedah dilaksanakan.
Katanya, untuk langkah pertama, JTG Perlis akan menghantar notis peringatan terlebih dahulu dalam tempoh 14 hari kepada mana-mana pemilik yang mempunyai tunggakan cukai tanah berkenaan.
“Seterusnya, jika pemilik masih gagal menjelaskan tunggakan, notis peringatan kedua akan dihantar, dan sekiranya mereka masih gagal dihubungi, tindakan akan diambil di bawah Seksyen 100 Kanun Tanah Negara melibatkan penguatkuasaan Notis Tuntutan Cukai Tanah (Notis 6A) dan seterusnya Notis 8A iaitu rampasan tanah.
“Kita juga ada menggunakan kaedah Sistem Pesanan Ringkas (SMS) sebagai medium bagi memberi peringatan kepada pihak terlibat,” katanya.
Sementara itu, Ismasuhaimi berkata, pemilik tanah di Perlis perlu memberi kerjasama bagi melunaskan bayaran tunggakan memandangkan 60 peratus daripada hasil negeri ini adalah merupakan sumbangan cukai tanah.
Katanya, Kerajaan Persekutuan juga akan bertindak memotong peruntukan buat negeri ini sekiranya gagal membuat kutipan tunggakan cukai tanah seperti yang dikehendaki.
“Negeri turut mendapat impak daripada tunggakan cukai tanah ini dan disebabkan itu, kita menyeru semua pihak agar dapat bersama-sama membantu melunaskan bayaran masing-masing,” katanya. –UTUSAN










