Pasukan Jihad siap sedia hadapi banjir

Pasukan Jihad siap sedia hadapi banjir

ALEXANDER Nanta Linggi bercakap pada sidang akhbar Pasukan Khas Jihad di Menara KPDNHEP, Putrajaya. - UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi (PKJTI) mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) supaya bersiap sedia memastikan bekalan barangan keperluan mencukupi khususnya berdepan bencana banjir.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, PKJTI mahu bekalan itu mencukupi terutama di negeri-negeri yang dijangka terjejas  tanpa memberi kesan ketara terhadap harga barang keperluan tersebut. 

Beliau berkata, arahan itu dikeluarkan susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), Isnin lalu.

STOK

“Persiapan itu termasuklah dari segi peningkatan stok mahupun perancangan logistik pengedaran ke negeri-negeri tersebut seperti trak perkhidmatan minyak bergerak (ROVR) bekalan petrol, diesel dan  sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat pasukan itu Kali Ke-17, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Alexander berkata, harga minyak sawit mentah (CPO) di pasaran dunia didapati stabil buat masa ini dan mengikut unjuran harga CPO akan mengalami sedikit penyusutan pada bulan Oktober hingga Disember 2022.

“Justeru itu, buat masa ini tiada keperluan untuk kerajaan untuk mewujudkan stok penimbal bagi CPO malah, kerajaan akan terus melakukan libat urus dengan pemain industri dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) bagi meninjau kebolehlaksanaan penetapan harga barangan itu,” katanya.

Dalam pada itu, Alexander berkata, sehingga 10 September lalu, Program Jualan Murah Keluarga  Malaysia (PJMK) telah dilaksanakan di 512 DUN atau 80.1 peratus daripada keseluruhan DUN (600) di seluruh negara. 

Selain itu, katanya, bagi tempoh antara 1 hingga 11 Julai lalu, pasukan penguat kuasa KPDNHEP menjalankan pemeriksaan terhadap 345 syarikat pembungkus, pemborong (2,203) dan peruncit (25,493) minyak masak tulen.

“Hasil daripada pemeriksaan itu, 140 kes direkodkan bagi tempoh antara 1 Julai hingga 30 Ogos lalu, 52 kes daripadanya membabitkan ketirisan di peringkat pemborong. 

“Hasil siasatan awal terhadap jenis ketirisan yang berlaku menunjukkan wujud elemen menyorok bekalan, tiada rekod dalam buku perolehan dan menjual minyak masak bersubsidi kepada individu dan premis tidak berlesen.

“Daripada 140 kes itu, 1 kes sudah lengkap siasatan dan pihak syarikat selesai membayar kompaun, manakala 84 kes lagi dalam proses siasatan. Selain itu, proses dakwa (1), proses kompaun (21), proses lupus (1) dan siasatan  lanjut (32),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya