Pas tidak terima gelar kumpulan Melayu Islam lain sebagai

Pas tidak terima gelar kumpulan Melayu Islam lain sebagai musuh utama

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Berbanding Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyifatkan Barisan Nasional (BN) sebagai musuh utama, rakan sekutunya iaitu Pas pula menegaskan pihaknya tidak boleh menerima tindakan melabelkan kumpulan Melayu Islam lain sebagai musuh utama.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kenyataan seumpama itu lebih-lebih lagi dilihat tidak wajar dan janggal sekiranya pihak yang dilabelkan sebagai musuh utama tersebut adalah rakan muafakat dalam kerajaan yang dipimpin bersama.

“Pas tidak boleh menerima pendirian mana-mana pihak dengan melabelkan kumpulan Melayu Islam lain sebagai musuh utama apatah lagi dalam perkara melibatkan kedudukan dan kuasa orang Islam dalam pemerintahan sesebuah negara majoritinya terdiri dari umat Islam seperti Malaysia.

“Pas sentiasa yakin hanya dengan perpaduan di antara parti-parti utama Melayu-Islam dalam negara ini sahaja dapat menjamin terbentuknya sebuah pemerintahan yang stabil, adil dan berkebajikan kepada semua rakyat pelbagai kaum, agama, bangsa dan budaya,” katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.

Sebelum ini, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengingatkan bahawa Barisan Nasional (BN) yang melibatkan daripada parti UMNO adalah musuh utama gabungan itu yang perlu dilawan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga Presiden Bersatu, justeru itu berkata parti komponen dalam PN perlu bergerak sebagai satu pasukan dan memiliki hala tuju yang sama, bukan mengeluarkan kenyataan atau pendirian bertentangan.

Terdahulu, Takiyuddin berkata, seluruh pimpinan dan ahli Pas diminta supaya akur serta memberikan wala’ (setia)  kepada arahan Mursyidul Am, Datuk Hashim Jasin agar semua pihak inginkan perpaduan dan kestabilan negara tercinta ini menghayati dan merealisasikan agenda penyatuan ummah.

Beliau menegaskan Pas sentiasa komited untuk melaksanakan segala usaha ke arah mencapai hasrat penyatuan ummah terutamanya di kalangan rakyat berbangsa Melayu dan beragama Islam seperti mana dijelaskan dalam berteraskan ayat 10 Surah al-Hujurat yang menyeru perdamaian sesama Islam. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×