ALOR SETAR: Isu kerjasama politik menjadi pokok perbincangan dengan sayap Dewan Pemuda, Muslimat dan Ulama terbuka untuk bergandingan dengan parti-parti lain kecuali Pakatan harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Perkara itu jelas apabila Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man di hadapan lebih 800 perwakilan Dewan Pemuda mengakui tidak ada satu pun parti di negara ini yang boleh memerintah secara bersendirian.
Sebaliknya, katanya, gabungan terbaik diperlukan untuk membentuk kerajaan dan disebabkan itu Pas terus bersikap terbuka untuk berunding dengan mana-mana pihak kecuali Pakatan Harapan (PH).
Pendirian hampir sama disuarakan oleh Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari apabila beliau menggesa pucuk pimpinan parti supaya memuktamadkan segera isu pembahagian kerusi, calon dan kerjasama politik bagi mengenal pasti ‘siapa kawan, siapa lawan.’
Beliau juga terbuka untuk berunding dengan mana-mana pihak terutamanya UMNO, malah memberikan tempoh sehingga hari penamaan calon ununtuk berunding bagi mengelak kedua-dua parti Melayu terbesar itu bertembung pada PRU15.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin ketika bercakap dalam Muktamar Dewan Ulama turut mengulangi penegasannya, Muafakat Nasional (MN) masih belum berakhir walaupun ‘pihak sana lipat perjanjian di bawah meja.’
Katanya, Pas tidak pernah ‘melipat’ perjanjian MN, sebaliknya terus terbuka untuk melihat UMNO dan parti itu menjalin hubungan antara satu sama lain.
Bukan itu sahaja, Ketua Muslimat Pas, Senator Nuridah Mohd. Salleh dalam ucaptamanya di hadapan perwakilan muslimat turut mengajak seluruh rakan politik berganding bahu membangunkan negara menerusi pelbagai formula penyatuan ummah.
Katanya, walaupun formula penyatuan yang dibawa Pas berdepan cabaran, Pas tetap tidak berganjak daripada usaha untuk menyatupadukan antara satu sama lain.
Sentimen tersebut dijangka terus disuarakan dalam ucapan dasar Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang hari ini. – UTUSAN










