SHAH ALAM: Isu pengecilan Hutan Simpan Bukit Cerakah (HSKBC) turut mendapat perhatian komuniti penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Kumpulan Otai Reformis 1998 (Otai) yang mendakwa masalah tersebut sebagai satu reformasi yang gagal.
Menurut Setiausahanya, Abdul Razak Ismail, kerajaan negeri tidak sepatutnya meneruskan agenda kerajaan dahulu apatah lagi keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dibuat 22 tahun lalu.
“Sudah lebih 20 tahun tiba-tiba baru April tahun ini diwartakan? Kemudian kerajaan negeri memberi alasan itu adalah keputusan tergantung yang dibuat sebelum pindaan enakmen mengikut Akta Perhutanan Negara 1985 pada 2011.
“Jadi tak hairanlah kalau penduduk, peminat aktiviti rekreasi di Rimba Komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memohon perintah injunksi sementara untuk menggantung warta. Malah saya sendiri ambil inisiatif serahkan perintah tersebut kepada defendan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menerusi perintah injunksi interim oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Dr. Shahnaz Sulaiman 11 Ogos lalu menamakan empat defendan iaitu Majlis Eksekutif Kerajaan Negeri Selangor (Exco), Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Petaling dan Kerajaan Negeri Selangor
Kata Abdul Razak, beliau mengambil inisiatif menyerahkan perintah tersebut kepada semua defendan sejak minggu lalu bagi memastikan undang-undang itu dikuatkuasakan.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika ditemui pada 30 Ogos lalu enggan mengulas berkenaan isu tersebut namun menganggap perintah mahkamah berhubung HSKBC proses perundangan biasa.
“Itu proses biasa sebab mereka sedang menunggu untuk penilaian kes, jadi saya ingat itu proses biasa kita kena hormati perintah mahkamah,” kata Amirudin.
Dalam pada itu, usaha menghubungi Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian untuk mendapat komen gagal.
Akhbar ini pernah melaporkan HSKBC semakin mengecil apabila dalam tempoh 96 tahun sejak 1924 hingga 2020 mengalami penyahwartaan sebanyak 21 kali membabitkan kawasan seluas 12,892.48 hektar. – UTUSAN










