ALOR SETAR: Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, penyokong parti itu alergi dengan logo Perikatan Nasional (PN) yang mempunyai warna biru seakan Barisan Nasional (BN).
Beliau yang juga Menteri Besar berkata, sebelum ini Pas menggunakan logo PN dalam pilihan raya kerana merasakan pengundi mahu memilih parti yang mempunyai kerjasama dalam satu gabungan.
Bagaimanapun, menurut beliau, penggunaan logo tersebut kini perlu diperbetulkan sekiranya terdapat pengundi merasakan mereka alergi dengan warna biru.
“Kelantan sudah maklum kepada saya boleh tak guna logo Pas, saya kata kami pertimbangkan, Terengganu pun sebut benda yang sama. Hari ini Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu jawab mereka setuju Pas guna logo sendiri di Terengganu.
“Kalau di tempat lain setuju orang Kedah pun nak minta pakai logo Pas juga. Tugas nak berunding perkara itu kita serah kepada Datuk Ahmad Yahya (Pesuruhjaya Pas Kedah),” katanya ketika berucap pada Muktamar Pemuda Pas yang turut dihadiri Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.
Solo
Kata Muhammad Sanusi, penggunaan logo PN sebelum ini kerana mendapati tiada parti yang bergerak solo boleh menang seperti Pas sendiri yang bertanding bersendirian di 158 kerusi, tetapi cuma meraih 18 kemenangan di peringkat Parlimen.
“Maka kita buat keputusan untuk menggunakan logo PN (pada Pilihan Raya Negeri) kerana pengundi nak parti yang ada gabungan. Maka kita guna logo PN.
“Tapi kalau duduk dalam PN orang alergi dengan logo PN yang warna sama dengan BN, patutkah kita biarkan perkara itu ataupun kita membetulkan keadaan itu? Jadi kita kena perbetulkan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau turut meminta supaya Pemuda Pas membuat analisis penggunaan logo Pas atau PN untuk digunakan dalam pilihan raya selepas ini.
Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, mereka tidak menolak kemungkinan banyak kerusi akan menyaksikan pertembungan lebih tiga penjuru antara PN, BN, Pakatan Harapan (PH) dan Pejuang.
Beliau mendakwa, semua pemimpin BN yang berjawatan mahu bertanding dalam pilihan raya.
“Kalau semua bahagian nak jadi calon, kerusi Parlimen ada 15 sahaja (di Kedah), kerusi Dewan Undangan Negeri ada 36. Ketua pemuda, ketua wanita, calon sedia semua nak bertanding.
“Agak mustahil untuk satu lawan satu, kena ada tiga penjuru. Dalam BN kalau jadi ketua bahagian, ketua parti kalau tak jadi calon satu kebodohanlah kot. Kena jadi calon. Tak menang tak apa asal jadi calon. Jadi budaya ini ada dalam BN,” katanya.- UTUSAN