Nama Temerloh di Australia - Utusan Malaysia

Nama Temerloh di Australia

TEMERLOH Avenue dinamakan sebagai sebuah jalan di Majlis Bandaraya Wagga Wagga di Australia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Sebuah jalan di Majlis Bandaraya Wagga Wagga di Australia dinamakan sebagai Temerloh Avenue yang memberi kebanggaan dan penghormatan kepada daerah ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, sebagai balasan, kerajaan negeri menamakan salah satu jalan utama di bandar Temerloh sebagai Wagga Wagga.

Beliau berkata, ia juga adalah sebagai tanda mengukuhkan hubungan antara Temerloh bersama bandar Wagga Wagga setelah lebih 58 tahun menjalinkan persahabatan.

“Kami amat bangga kerana Majlis Bandaraya Wagga Wagga memberi penghormatan kepada Temerloh dengan menamakan salah satu jalannya sebagai Temerloh Avenue.

“Hari ini, sebagai balasan, kami juga secara rasmi menamakan salah satu jalan utama di Bandar Temerloh sebagai Wagga Wagga.

“Kami berharap ini dapat mewujudkan kesedaran yang lebih besar dalam kalangan penduduk Temerloh, khususnya dan Pahang amnya tentang Wagga Wagga dan kepentingan hubungan antara kedua-dua bandar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Mohd. Sharkar berkata, hubungan antara Temerloh dan Wagga Wagga telah terjalin melalui pembentukan Wagga Wagga – Temerloh Good Neighbour Association sejak 1965 dan kemudiannya daerah ini diterima sebagai bandar bersaudara kepada Wagga Wagga.

“Kami sentiasa berterima kasih atas bantuan dan sokongan yang dihulurkan kepada penduduk Temerloh oleh penduduk Wagga Wagga pada zaman negara kita masih lagi baru.

“Kami dalam proses untuk membina sebuah negara ketika itu dan bantuan yang dihulurkan oleh penduduk Wagga Wagga dari segi penjagaan kesihatan, kewangan dan sokongan pendidikan kepada pelajar kami telah banyak menyumbang kepada kehidupan penduduk Temerloh seperti hari ini.

“Sumbangan Land Rover dan set diagnostik perubatan penduduk Wagga Wagga kepada Klinik Kesihatan Bayi Temerloh sememangnya hadiah yang dihargai oleh warga Temerloh,” katanya.

Beliau dalam pada itu berharap hubungan antara Wagga Wagga dan Temerloh akan terus berkembang dan wujudnya persefahaman yang lebih baik antara penduduk kedua-dua bandar ini. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya