KUALA LUMPUR: Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu melihat diri sendiri sebelum menuduh kerajaan hari ini sebagai gagal menguruskan ekonomi negara.
Ini kerana ketika beliau menjadi Perdana Menteri sebelum ini banyak juga syarikat yang ditutup akibat keputusannya dalam pembukaan ekonomi ekoran pandemik Covid-19 yang berubah-ubah.
Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri, Shahril Sufian Hamdan berkata, tiada ketegasan dalam kepimpinan Muhyiddin telah menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk dan sudah pasti yang menjadi mangsa adalah rakyat.
“Muhyiddin menyebut banyak syarikat terpaksa kecilkan operasi atau tutup. Agaknya sebab apa? Cuba tengok berapa syarikat yang tutup semasa dia menjadi Perdana Menteri?
“Ya, sebahagiannya disebabkan Covid-19 memuncak. Tetapi sebahagiannya juga sebab Perdana Menteri waktu itu sendiri tidak ada ketegasan terhadap jalan keluar daripada belenggu. Kejap A kejap B. Kejap buka kejap tutup.
“Kalau Muhyiddin masih Perdana Menteri, silap-silap ekonomi negara pun lambat dibuka,” katanya semalam.
Semalam, Muhyiddin mengeluarkan kenyataan sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terus gagal menguruskan ekonomi dan negara, sebaiknya pilihan raya umum diadakan.
Beliau berkata, ia bagi memastikan supaya sebuah kerajaan baharu yang lebih cekap, prihatin dan bebas rasuah dapat dipilih oleh rakyat.
Mengulas lanjut, Shahril turut berkata, dasar yang dilaksanakan Perdana Menteri berjaya menyelamatkan keadaan sehingga kadar pengangguran menurun selama 12 bulan berturut-turut, malah jualan barangan borong dan runcit juga meningkat dengan kadar tertinggi sepanjang tahun ini.
“Mujur Datuk Seri Ismail Sabri jadi Perdana Menteri, buka semula ekonomi. Tarik pelaburan sehingga angka rekod dicatat. Melalui Bajet 2022, Perdana Menteri juga telah memperkenalkan program Semarak Niaga berjumlah RM40 bilion untuk membantu usahawan dan perniagaan bina semula punca rezeki mereka.
“Ini juga dilengkapi oleh inisiatif Jamin Kerja dengan peruntukan berjumlah RM4.8 billion untuk mewujudkan peluang pekerjaan bagi seluruh Keluarga Malaysia yang terjejas,” ujarnya. – UTUSAN










