Mengundi fardu ain bagi orang Islam - Abdul Hadi -

Mengundi fardu ain bagi orang Islam – Abdul Hadi

ABDUL Hadi Awang disambut penyokong pada Pelancaran Kempen Pas Pilihanku 4.0 di Padang Rengas hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG RENGAS: Mengundi pada pilihan raya umum merupakan fardu ain bagi pengundi beragama Islam di negara ini, kata Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Menurut beliau, adalah menjadi tanggungjawab semua peringkat umur termasuk pengundi muda berusia 18 tahun ke atas untuk menunaikan kewajipan mereka mengundi.

“Ulama mengatakan apabila Islam berdaulat sudah memerintah jihad, mengundi merupakan fardu kifayah, namun, apabila Islam jatuh dalam bahaya jihad, mengundi menjadi fardu ain.

“Anak muda umur 18 tahun kena tunai kewajipan mengundi, kewajipan politik kerana ini kewajipan fardu ain dalam suasana orang Islam dalam bahaya dan ia bukan fardu kifayah lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Kempen Pas Pilihanku 4.0 Peringkat Negeri Perak di Dewan Millenium Lubok Merbau di sini hari ini.

Turut hadir Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria dan Timbalannya, Mohd. Akmal Kamarudin.

Abdul Hadi menyifatkan tindakan segelintir anak muda Islam yang menganggap tidak penting untuk menunaikan tanggungjawab mengundi semasa pilihan raya sebagai malang.

“Ramai orang muda anggap tidak penting keluar mengundi, tidak ambil tahu politik dan siapa yang memerintah kerana bagi mereka sama sahaja.

“Mereka tidak sedar kuasa politik ini menentukan kedaulatan Islam, kuasa Islam kalau dia (pengundi Islam) tidak terlibat orang lain akan ambil alih,” katanya.

Menurutnya, pengundi baharu Melayu dan Islam seharusnya peka dengan tanggungjawab masing-masing sama seperti pengundi kaum lain yang sanggup pulang dari luar negara mengundi untuk memenangkan parti mereka.

“Orang kaum lain duduk di Australia balik mengundi nak menangkan parti dia, tetapi kita orang Melayu duduk di kampung sendiri tidak mahu mengundi dan ia sangat malang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN