JERANTUT: Masyarakat perlu cakna jika melihat tingkah laku luar biasa atau mengetahui terdapat kecenderungan pelaku untuk membunuh diri sebagai pencegahan awal bagi menghindari kes bunuh diri berlaku di negara ini.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, bunuh diri antara 10 penyebab utama kematian di dunia dan penyebab keempat kematian bagi individu berusia antara 15 hingga 29 tahun berdasarkan laporan Pertubuhan kesihatan Sedunia (WHO).
Beliau berkata, WHO turut melaporkan terdapat lebih daripada 703,000 kes kematian membunuh diri setiap tahun dengan purata satu kematian akibat membunuh diri setiap 40 saat.
“Kes begini berlaku dipercayai berpunca penyumbang tingkah laku membunuh diri disebabkan isu psikososial dan persekitaran, isu kekeluargaan, penyakit mental seperti kemurungan, kurang sokongan sosial dan penyalahgunaan bahan terlarang,” katanya pada Majlis Sambutan Pencegahan Bunuh Diri Sedunia Peringkat Negeri Pahang di Pusat Latihan Teknologi (ADTEC) di sini hari ini.
Nasihat Nor Azimi, sebagai anggota masyarakat, sewajarnya perlu ‘menjaga tepi kain’ jika mengetahui terdapat tingkah laku yang luar biasa tempat sendiri yang menjurus kepada membunuh diri.
“Kita perlu membantu individu yang dipercayai merangkumi idea membunuh diri, rancangan bunuh diri dan cubaan membunuh diri dengan membawa kepada pihak berkaitan seperti kaunselor sekolah, daerah atau kepada pakar psikologi berdekatan.
“Secara tidak langsung, anggota masyarakat turut berperanan membantu dalam pencegahan membunuh diri agar angka membunuh diri negara dapat disifarkan,” katanya.
Selanjutnya, beliau berkata, pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) kerap mengadakan pelbagai aktiviti dan program bagi memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan sindrom membunuh diri.
“Pihak JKN banyak menerima kehadiran orang ramai untuk mendapat khidmat masyarakat daripada pegawai psikologi dan kaunseling terutama mereka yang terkesan dengan kehidupan ketika berlaku pandemik Covid-19 akibat kehilangan pekerjaan dan puca pendapatan.
“Kes sebegini banyak diperbincangkan dan pintu pusat rawatan jabatan psikologi sentiasa terbuka untuk membantu,” ujarnya. –UTUSAN










