fbpx

Lepas dakwaan cuba culik di Kelantan kini di Perak pula

HANTARAN yang dimuat naik di media sosial tular sejak semalam berkaitan kes cubaan melarikan murid di hadapan sebuah sekolah di Taman Pinji Mewah, Ipoh. - UTUSAN/MEDIA SOSIAL

IPOH: Polis menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat dakwaan cubaan melarikan seorang murid perempuan di hadapan sebuah sekolah rendah di Taman Pinji Mewah di sini Jumaat lalu.

Kejadian tersebut tular di media sosial sejak semalam selepas laporan berkaitan insiden berkenaan dimuat naik keluarga mangsa di Facebook.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, hantaran dimuat naik pengguna media sosial itu dikesan pihaknya semalam yang mendakwa kes berkenaan berlaku di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan. 

Menurut beliau, laporan polis telah dibuat ibu mangsa pada pukul 9.07 malam, Jumaat lalu. Sehubungan itu, kita telah menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kes ini daripada pelbagai sudut.

“Kerjasama juga dijalinkan antara p polis dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan pihak sekolah dalam meningkatkan langkah-langkah pencegahan jenayah dan keselamatan di sekolah,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes tersebut supaya tidak mengganggu siasatan polis.

TAMPIL

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu juga diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh bagi membantu siasatan atau menghubungi pegawai penyiasat kanan, Asisten Superintenden Norazlina Rais Ahmad di talian 013-6282176.

“Ibu bapa atau penjaga dinasihatkan menghantar dan mengambil anak mereka pada waktu yang ditetapkan pihak sekolah selain memaklumkan kepada pihak pengurusan sekiranya tidak dapat berbuat demikian.

“Pihak sekolah juga diingatkan agar memastikan urusan tersebut dilakukan oleh ibu bapa atau penjaga yang sah sahaja,” katanya.

Berdasarkan hantaran yang dimuat naik di Facebook itu, murid terbabit bersama seorang rakan dikatakan dihampiri lelaki menaiki van berwarna putih sekitar pukul 1 tengah hari, Jumaat lalu sebelum diajak mengikutnya dan dijanjikan gula-gula. 

Bagaimanapun, pelawaan itu ditolak  sebelum suspek bertindak mencengkam lengan mangsa untuk menariknya.

TERKEJUT

Mangsa yang terkejut telah menjerit dan didengari pengawal keselamatan manakala suspek melarikan diri dengan menaiki van berkenaan.

Terdahulu pada 22 September itu, polis Kelantan menyiasat dua kes tular melibatkan dakwaan cubaan culik dua murid di sebuah sekolah di daerah Gua Musang yang didakwa berlaku pada puku 5 petang pada 19 dan 20 September .

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kejadian pertama didakwa membabitkan seorang murid Tahun Empat  disekolah berkenaan.

“Semasa tamat sesi persekolahan bagi Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa), terdapat dua lelaki yang tidak dikenali menaiki kereta jenis Perodua Kancil berwarna putih nombor pendaftaran tidak diketahui berada di seberang jalan menghala ke Gua Musang.

“Mereka memanggil murid tersebut di luar kawasan sekolah tetapi murid itu tidak menghiraukan mereka,” kata beliau.

Selepas itu, kata Choon Foo, kejadian kedua pula didakwa berlaku pada jam sama Selasa lalu membabitkan seorang murid Tahun Satu di sekolah sama.

“Murid Tahun Satu itu mendakwa dipanggil oleh dua lelaki yang tidak dikenali menaiki kereta jenis Perodua MyVv berwarna kelabu nombor pendaftaran tidak diketahui.

Setakat ini Bukit Aman belum memberi respons terhadap dakwaan tersebut dan mengikut sumber polis mengambil langkah mengunci mulut berhubung dakwaan itu dengan alasan enggan mencetus panik dalam kalangan ibu bapa, – UTUSAN

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN